
Tegasnya, sudah hampir dua bulan sejak Jemaah Menteri mengarahkan beberapa agensi, termasuk polis menyiasat dakwaan dalam laporan Bloomberg itu.
Ketelusan sangat penting, justeru beliau menggesa Khalid mendedahkan sama ada individu dinamakan dalam laporan itu telah disoal siasat dan langkah seterusnya dalam siasatan polis.
“Berdasarkan dakwaan khusus membabitkan syarikat dan individu dinamakan, siasatan ini mesti dijalankan secara menyeluruh, meliputi setiap individu, entiti dan pegawai SPRM terbabit dalam aduan itu.
“Perkara ini mempunyai kepentingan awam besar kerana integriti pasaran dan institusi negara kita sedang dipertaruhkan. Dakwaan serius seperti ini tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan dan perlu diselesaikan dengan tegas mengikut undang-undang,” katanya dalam kenyataan.
Ahli Parlimen Damansara itu berkata, Suruhanjaya Sekuriti (SC) wajar mendedahkan langkah telah diambil untuk menyiasat dakwaan berkenaan.
“Jika ia membabitkan manipulasi pasaran, sama ada melalui penggunaan kekerasan atau cara lain untuk memindahkan saham dalam mana-mana syarikat, maka SC mempunyai bidang kuasa atas perkara itu.
“Mereka perlu memaklumkan jika sudah menyiasat aspek ini dan sama ada tindakan akan diambil terhadap individu didapati melakukan kesalahan atau bersubahat atas sebarang kesalahan dalam perkara itu, dan jika ya, bila.”
Bulan lalu, Khalid dilaporkan berkata, polis telah mengenal pasti beberapa individu mempunyai kaitan dengan siasatan itu, sebahagian daripadanya berada di luar negara dan tidak menolak kemungkinan mendapatkan kerjasama antarabangsa bagi mengesan individu terbabit.
Setakat ini, katanya, tiada pegawai SPRM dipanggil untuk disoal siasat.
Dakwaan itu mula muncul dalam laporan Bloomberg yang mendakwa rangkaian ahli perniagaan dan pegawai SPRM menggunakan serbuan serta siasatan untuk menekan eksekutif menjual saham dalam syarikat disasarkan, mendorong gesaan supaya siasatan menyeluruh membabitkan pelbagai agensi dijalankan.