SPRM nyahbeku sebahagian akaun bank syarikat baja Cropmate

SPRM nyahbeku sebahagian akaun bank syarikat baja Cropmate

Syarikat itu mengemukakan satu lagi surat representasi kepada SPRM bagi mohon supaya semua akaun bank dinyahbekukan.

cropmate
Syarikat pembuat baja Cropmate Bhd sebelum ini memaklumkan SPRM membekukan beberapa akaun bank miliknya dan anak syarikat.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka semula sebahagian akaun bank milik Cropmate Bhd dan anak syarikatnya yang sebelum ini dibekukan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pengeluar baja itu berkata pihaknya dimaklumkan mengenai perkembangan tersebut oleh peguamnya pada 1 Mei.

“Syarikat, melalui peguamnya, telah mengemukakan satu lagi surat representasi kepada SPRM bagi memohon supaya semua akaun bank syarikat dan anak syarikat yang terlibat dinyahbekukan,” katanya.

Perkembangan ini menyusul selepas juruaudit luar Cropmate membangkitkan kebimbangan mengenai keupayaan syarikat untuk terus beroperasi selepas 31 Dis 2025, susulan pembekuan akaun dan ketidaktentuan tempoh pembekuan serta kesannya.

Pada 24 April, Cropmate memaklumkan bahawa SPRM telah membekukan beberapa akaun bank milik syarikat dan anak syarikatnya sebagai sebahagian daripada siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Syarikat itu berkata berdasarkan maklumat sedia ada, tiada petunjuk perkara itu membabitkan sebarang salah laku oleh pihak pengurusan atau kakitangannya.

Sejak itu, Cropmate telah melantik Hisyam Teh Poh Teik sebagai peguam utama, bersama Mustafa, Ling & Co sebagai peguamcara yang mewakilinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.