Polis buka siasatan sebar maklumat palsu kes gadis ditikam 61 kali

Polis buka siasatan sebar maklumat palsu kes gadis ditikam 61 kali

Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata antara maklumat palsu dikesan termasuk spekulasi latar belakang suspek dan penggunaan logo rasmi PDRM.

Mohd Yusoff Mamat
Menurut Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat, satu laporan polis sudah dibuat terhadap penyebaran maklumat palsu dan ia disiasat mengikut Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis membuka siasatan berhubung penyebaran maklumat palsu terhadap kes kematian penuntut kolej berusia 19 tahun dengan 61 kesan tikaman di Ketereh, Kota Bharu Jumaat lalu.

Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, berkata pihaknya memandang serius mengenai penularan hantaran di media sosial yang memaparkan pelbagai maklumat dan fakta tidak sahih berhubung kes berkenaan.

Katanya, antara kandungan yang dikesan termasuk penyebaran spekulasi berkait latar belakang suspek dan penggunaan gambar rasmi Ketua Polis Kelantan bagi menarik perhatian awam.

“Turut dikesan penggunaan logo rasmi PDRM tanpa kebenaran sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah kandungan berkenaan adalah kenyataan rasmi polis.

“Sehubungan itu, satu laporan polis sudah dibuat dan kes ini sedang dalam siasatan. Siasatan dibuat mengikut Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan media, menurut Harian Metro.

Yusoff berkata sebarang penyebaran maklumat palsu boleh menimbulkan kegusaran awam selain menjejaskan siasatan polis.

“Orang ramai diminta lebih bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial dengan tidak menyebarkan maklumat palsu,” katanya.

Dalam kejadian tengah malam Jumaat lalu, mayat seorang gadis ditemui di Kampung Padang Simah pada 12.30 tengah malam dengan 61 kesan tikaman di seluruh anggota badannya.

Yusoff dilaporkan berkata, mangsa ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, namun pihaknya mengenal pasti mangsa berdasarkan semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.