Pegawai pertanian mengaku tak salah 11 tuduhan rasuah RM56,200

Pegawai pertanian mengaku tak salah 11 tuduhan rasuah RM56,200

Dia didakwa menerima wang terbabit dalam beberapa transaksi daripada seorang pengerusi koperasi dan seorang pengarah syarikat.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Suzana Hussin membenarkan jaminan RM13,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.
KUALA LUMPUR:
Seorang pegawai kanan di Jabatan Pertanian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas 11 pertuduhan menerima wang RM56,200 tanpa balasan daripada dua individu berkaitan tugas rasminya.

Nizam Malik, 48, yang merupakan penolong pengarah utama di Bahagian Pembangunan Industri Tanaman jabatan terbabit membuat pengakuan itu di hadapan hakim Suzana Hussin.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menerima RM25,700 dalam dua bayaran daripada Zainal Nadzri, 56, iaitu pengerusi Koperasi Usahawan Alam Shah Bhd. Kedua-dua jumlah itu, RM8,700 dan RM17,000, didakwa dipindahkan daripada akaun bank PJCC Smart Coach Solution ke akaun Nizam pada 5 Mac dan 10 April 2025.

Transaksi tersebut didakwa berlaku di sebuah bank di Shaftsbury Putrajaya Avenue.

Nizam turut didakwa menerima RM30,500 secara tunai dalam sembilan bayaran daripada pengarah Orchidmas Sdn Bhd, Shiz Mohammad Kassim, 44, melalui seorang individu, Nis Adira Maris Nazlimaris.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Presint 14, Putrajaya antara 9 Mei 2023 hingga 4 April 2024.

Kesemua 11 pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Safari Abdullah mencadangkan jaminan RM20,000 bagi semua pertuduhan serta syarat tambahan supaya Nizam menyerahkan pasportnya, melapor diri setiap bulan ke pejabat SPRM, dan tidak menghubungi saksi pendakwaan.

Peguam bela Ariffin Wahab pula memohon jumlah jaminan lebih rendah iaitu RM8,000 dengan alasan Nizam telah muflis dan digantung tugas.

Ariffin berkata anak guamnya mempunyai lima orang anak, tiga daripadanya masih menuntut di universiti, dan memohon mahkamah mengambil kira tempoh perkhidmatan panjangnya dalam sektor awam.

“Tertuduh telah berkhidmat hampir 25 tahun dan pernah berkhidmat di beberapa negara seperti Jepun dan Jerman. Mohon pertimbangkan jasa beliau kepada negara,” katanya.

Mahkamah menetapkan jaminan RM13,000 dengan seorang penjamin, tertakluk kepada syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan, dan menetapkan 8 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.