Nahas kenderaan rosak: Pengawal keselamatan terima pampasan RM482,328

Nahas kenderaan rosak: Pengawal keselamatan terima pampasan RM482,328

Mahkamah Tinggi JB putuskan Socar Mobility gagal pastikan kenderaan disediakannya diselenggara dengan sempurna.

kompleks mahkamah tinggi johor bahru
Socar pikul kewajipan berjaga-jaga secara langsung ke atas mana-mana individu, termasuk pemandu dan penumpang kenderaan disediakannya, menurut Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi JB Noradura Hamzah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Johor Bahru menganugerahkan pampasan RM482,328 kepada seorang pengawal keselamatan atas kehilangan pendapatan dan keupayaan meraih pendapatan, susulan kecederaan akibat nahas jalan raya enam tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Noradura Hamzah memerintahkan operator platform perkongsian kereta, Socar Mobility Sdn Bhd, agar membayar ganti rugi tersebut kepada B Vekneswaran, berikutan kegagalan syarikat itu memastikan kenderaannya diselenggara dengan sempurna.

Dalam kejadian pada 21 Jun 2020, Vekneswaran bersama seorang lagi penumpang, Pavithra Deiwi, menaiki sebuah Perodua Myvi milik Socar yang dipandu oleh B Saravanan.

Semasa menghampiri sebuah simpang di Jalan Gaya 11, Ulu Tiram, Johor, pemandu cuba membrek sebelum membelok ke kanan. Bagaimanapun, brek tidak berfungsi lantas mengakibatkan kenderaan itu terbabas ke bahu jalan dan merempuh papan tanda.

Insiden tersebut menyebabkan Vekneswaran cedera parah di tulang rusuk dan tulang belakang lumbar, manakala Pavithra disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail.

Pada 2023, Vekneswaran dan keluarga Pavithra memfailkan saman terhadap Socar dan Saravanan di Mahkamah Sesyen. Kes terus dibicarakan ke atas Socar selepas Saravanan gagal memfailkan kehadiran.

Mahkamah rendah mendapati Socar bertanggungjawab 90% atas kemalangan itu, manakala 10% diletakkan ke atas Saravanan.

Mahkamah menganugerahkan ganti rugi RM57,600 kepada keluarga Pavithra atas kehilangan tanggungan serta RM54,000 untuk kecederaan Vekneswaran, namun menolak tuntutannya berhubung kehilangan pendapatan dan keupayaan meraih pendapatan.

Berhubung rayuan balas mengenai kuantum pampasan, Noradura membenarkan tuntutan Vekneswaran bagi kehilangan pendapatan (RM83,160) dan kehilangan keupayaan meraih pendapatan (RM399,168), dengan mengambil kira mangsa telah ditukarkan ke tugasan lebih ringan dengan gaji lebih rendah selepas insiden terbabit.

Ketika mengekalkan keputusan liabiliti ke atas Socar, beliau menegaskan syarikat itu memikul kewajipan berjaga-jaga secara langsung ke atas mana-mana individu, termasuk pemandu dan penumpang, yang secara munasabahnya berisiko terjejas akibat keadaan kenderaan yang disediakan.

Noradura turut mendapati Mahkamah Sesyen membuat keputusan yang tepat apabila membuat inferens bertentangan ke atas Socar, selepas syarikat itu melupuskan kenderaan terbabit sebelum pemeriksaan kedua sempat dijalankan.

“Pegawai penyiasat telah memberikan arahan tegas agar sebarang pembaikan atau pengubahsuaian tidak dibuat sementara siasatan lanjut dijalankan. Apabila pegawai tersebut mahu menuntut kenderaan itu, beliau diberitahu ia telah pun dilupuskan.

“Tindakan perayu melupuskan Myvi berkenaan sebelum pemeriksaan kedua menyebabkan mahkamah dan plaintif kehilangan keterangan yang mungkin konklusif berhubung keadaan sebenar sistem brek kenderaan itu,” tegasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.