
Peguam syarikat Janet Chai, berkata rayuan telah difailkan Selasa lalu.
“Kami juga telah menyerahkan salinan notis (yang belum dimeterai) kepada Jabatan Peguam Negara pada hari yang sama,” katanya kepada FMT.
Hakim Roslan Mat Nor pada 1 April lalu menolak permohonan Semantan selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.
Semantan sebelum ini memohon untuk mendapatkan beberapa dokumen, termasuk helaian kajian hasil, rekod ukur tanah dan hasil, pelan pengambilan tanah, serta dokumen berkaitan zon guna tanah antara tahun 1956 hingga 1960.
Syarikat itu mengenal pasti empat agensi berkaitan kerajaan yang dipercayai memiliki dokumen diperlukan bagi membantu mahkamah membuat penilaian pampasan yang perlu dibayar oleh kerajaan berhubung tanah yang dipertikaikan, dikenali sebagai Duta Enclave.
Dalam keputusannya, Roslan berkata dokumen yang dimohon tidak berada dalam milikan, jagaan atau kawalan kerajaan, selepas meneliti afidavit jawapan yang dikemukakan oleh agensi-agensi tersebut.
Beliau menjelaskan proses penemuan dokumen di bawah Perintah 24 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 hanya terpakai kepada dokumen yang berada dalam milikan atau kawalan sesuatu pihak, dan tidak boleh digunakan untuk mendapatkan dokumen yang tidak wujud atau tidak berada dalam jagaan pihak berkenaan.
Roslan menetapkan 14 dan 21 Ogos, serta 1 September untuk prosiding penilaian pampasan.
Beliau juga menetapkan 16 Dis untuk memutuskan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh kerajaan kepada Semantan.
Chai berkata pihak-pihak terlibat kini sedang dalam proses bertukar dokumen berkaitan laporan pakar bagi tujuan penilaian ganti rugi.
Pertikaian undang-undang Semantan bermula pada tahun 2003 apabila ia menyaman kerajaan, mendakwa bahawa tanah seluas 106 hektar miliknya di bandar telah diambil secara tidak sah sejak tahun 1956.
Tanah dipertikaikan itu kini menempatkan beberapa bangunan kerajaan, termasuk Stadium Hoki Nasional, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Lembaga Hasil Dalam Negeri, dan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Pada tahun 2009, Mahkamah Tinggi memutuskan memihak kepada Semantan, namun keputusan rayuan selepas itu menetapkan bahawa syarikat tersebut tidak berhak ke atas hak milik tanah berkenaan.
Pada 24 Jun 2025, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Semantan berhak menerima pampasan yang mencukupi, yang akan dinilai berdasarkan nilai tanah pada tahun 1956 ketika kerajaan mengambil alihnya, serta mengarahkan penilaian keuntungan tertunggak (mesne profits).
Pada 13 November tahun lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Semantan untuk mendapatkan kebenaran merayu, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan dan membuka laluan kepada prosiding penilaian yang kini berlangsung di Mahkamah Tinggi.