Tiada rundingan dengan BN-PN, kata Aminuddin

Tiada rundingan dengan BN-PN, kata Aminuddin

Aminuddin Harun juga menegaskan tidak mempunyai maklumat dakwaan konon empat Adun BN 'u-turn' menyokong kerajaan pimpinannya.

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun memaklumkan hanya cuba menghubungi Adun BN Isnin lalu bagi mendapatkan penjelasan susulan keputusan menarik sokongan terhadapnya, namun gagal.
SEREMBAN:
Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun menggesahkan tiada rundingan pihaknya bersama Adun Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) susulan krisis politik ketika ini.

Beliau memaklumkan hanya cuba menghubungi Adun BN Isnin lalu bagi mendapatkan penjelasan susulan keputusan menarik sokongan terhadapnya, namun gagal.

Katanya, sebarang rundingan kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk wakil rakyat PN jika ada, perlu mendapat persetujuan Presiden PKR Anwar Ibrahim terlebih dahulu.

“Tak ada perbincangan dengan Adun BN untuk kembali sokong sebab ketika hari kejadian itu, saya ada menghubungi beberapa Adun untuk mengesahkan (tarik sokongan) tetapi semua tutup telefon.

“Isunya bukan ada pihak nak sokong saya atau tak. Isunya adakah presiden saya (Anwar) bersetuju atau tidak kerjasama (termasuk dengan Adun Bersatu daripada PN).

“Nanti kalau PH Negeri Sembilan kerjasama…tak sama dengan pusat nampak tak sesuai, takkan tiba-tiba di Negeri Sembilan bersama (PN) di pusat kita dengan Umno, itu ganjil,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat exco di Wisma Negeri.

Aminuddin turut menegaskan tidak mempunyai maklumat mengenai dakwaan konon empat Adun BN membuat ‘u-turn’ menyokong kerajaan pimpinannya dengan jawatan exco.

“Siapa pemangku kekosongan jawatan akan diputuskan mesyuarat (exco) minggu depan,” katanya.

Terus tadbir kerajaan 

Dalam perkembangan sama, Aminuddin turut memaklumkan beliau akan terus mentadbir kerajaan negeri minoriti sehingga keputusan lain dibuat melibatkan perubahan pentadbiran negeri.

Beliau juga akan akur apa jua keputusan bakal dibuat pucuk pimpinan termasuk melibatkan soal kedudukannya sebagai menteri besar.

Aminuddin turut memaklumkan Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir juga mahu beliau meneruskan tugas sebagai menteri besar seperti biasa bagi memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan.

“Nasihat Tuanku teruskan mesyuarat selesaikan masalah rakyat, negeri harus bergerak ke hadapan.

“Kita teruskan mesyuarat, kita tak nak ada masalah kepada rakyat,” katanya.

Diminta mengulas isu melibatkan adat dan perlembagaan di Negeri Sembilan, Aminuddin berkata beliau menyerahkan kepada pihak terlibat termasuk Undang untuk menyelesaikannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.