
Jalaluddin berkata semua 14 Adun Barisan Nasional (BN)-Umno yang menarik sokongan terhadap pentadbiran Aminuddin, kekal dengan pendirian mereka.
“Semua kekal dan kukuh. Keputusan semua 14 Adun tarik sokongan secara en block kekal,” katanya kepada FMT.
Jalaluddin mengulas laporan media hari ini yang mendakwa beberapa Adun parti itu akan kembali menyertai barisan exco Negeri Sembilan.

Sementara itu, Adun Lenggeng, Asna Amin berkata Umno Negeri Sembilan hanya akan bertindak mengikut arahan Presiden parti, Zahid Hamidi.
Bagaimanapun, Asna yang juga timbalan speaker DUN, berkata Umno negeri setakat ini belum menerima sebarang arahan daripada kepimpinan pusat.
Menurutnya, sebagai ‘ahli parti yang setia’, beliau akan mematuhi sebarang keputusan yang dibuat Zahid, yang juga pengerusi BN.
“Kita tidak ada terima apa-apa arahan dari Umno pusat. Selagi tiada sebarang arahan, itu (terima jawatan exco) kekal sebagai khabar angin,” katanya kepada FMT.
Seorang lagi Adun Umno, Zaidy Abdul Kadir juga menafikan khabar angin tersebut dan menegaskan bahawa beliau akan akur dengan segala keputusan dibuat pucuk pimpinan parti.
“Pendirian saya jelas. Taat setia kepada parti dan akur dengan pucuk pimpinan. Segala khabar angin yang tular di media sosial tidak benar sama sekali,” katanya yang juga Adun Jeram Padang.
Semua 14 Adun BN-Umno sebelum ini menarik balik sokongan terhadap Aminuddin atas alasan hilang keyakinan terhadap menteri besar itu.
Jalaluddin yang sebelum ini exco kanan negeri, berkata keputusan itu berkait dengan krisis berterusan membabitkan empat undang luak yang mahu menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan daripada kedudukannya.
Semalam, Zahid dan Pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, mengadakan pertemuan bagi membincangkan krisis politik tersebut.