Kerajaan perpaduan kekal stabil, pentadbiran seperti biasa, kata Fahmi

Kerajaan perpaduan kekal stabil, pentadbiran seperti biasa, kata Fahmi

Jurucakap kerajaan berkata Kabinet dimaklumkan berkait kedudukan kerajaan persekutuan dan negeri lain termasuk Negeri Sembilan.

pc umno negeri sembilan
Jurucakap kerajaan berkata Zahid Hamidi akan bertemu 14 Adun BN yang menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan dan negeri termasuk di Negeri Sembilan kekal stabil di sebalik tindakan 14 Adun Barisan Nasional (BN) menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun.

Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata perkara itu dimaklumkan kepada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan negeri termasuk di Negeri Sembilan, tidak terjejas dan terus berfungsi seperti biasa,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet.

Isnin lalu, 14 Adun Umno mengumumkan mereka menarik balik sokongan terhadap Aminuddin sebagai menteri besar.

BN negeri kemudian mendakwa ia mempunyai majoriti mudah dalam DUN yang mempunyai 36 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri, dengan sokongan lima Adun PN.

Adun BN Negeri Sembilan itu mendakwa tindakan mereka dibuat kerana Aminuddin gagal mengurus krisis melibatkan institusi adat, perlembagaan negeri, serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Berhubung kedudukan Adun BN terbabit, Fahmi berkata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi yang juga pengerusi gabungan itu akan bertemu dengan mereka dalam masa terdekat.

“Zahid telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa beliau akan mengadakan pertemuan bersama Adun terbabit dalam masa terdekat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.