
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata perkara itu dibangkitkan sebagai susulan kepada makluman terdahulu serta perbincangan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara semalam.
Beliau berkata perdana menteri mengarahkan kementerian, agensi, badan berkanun, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), meneliti semula pendekatan penganjuran acara berskala besar.
“Semua acara rasmi, bengkel dan aktiviti berskala besar perlu diadakan pada skala sederhana,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet.
Fahmi turut menjelaskan kerajaan tidak bercadang membentangkan semula Belanjawan 2026 di Parlimen walaupun terdapat penelitian semula terhadap perbelanjaan operasi kementerian.
Beliau berkata keputusan itu dibuat kerana pelarasan yang sedang dilakukan hanya melibatkan pengoptimuman perbelanjaan sedia ada, tanpa menjejaskan kerangka keseluruhan belanjawan.
“Tidak pada waktu ini,” katanya ringkas.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata perdana menteri turut menekankan kepentingan penyelarasan pelaksanaan program Kampung Angkat Madani.
Katanya, inisiatif di peringkat Persekutuan itu perlu dilaksanakan secara teratur dengan penglibatan semua pihak berkaitan.
“Pelaksanaan program ini perlu diselaraskan dengan rapi, khususnya melibatkan ahli Parlimen dalam kalangan penyokong kerajaan atau backbenchers,” katanya.
Beliau menambah langkah itu penting bagi memastikan keberkesanan program serta mengelakkan pertindihan usaha di lapangan.