PH kesal 14 Adun BN cuba ‘tebuk atap’ di Negeri Sembilan

PH kesal 14 Adun BN cuba ‘tebuk atap’ di Negeri Sembilan

Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil berkata tindakan itu tidak menghayati semangat kerajaan perpaduan yang sedang diterajui di peringkat persekutuan dan negeri.

Fahmi Fadzil berkata PH bidas 14 Adun BN di Negeri Sembilan yang bertindak tanpa mempedulikan kebajikan rakyat.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) kesal terhadap tindakan 14 Adun Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang didakwa cuba menggugat kestabilan pentadbiran kerajaan negeri itu.

Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil berkata tindakan itu disifatkan sebagai langkah pengkhianatan dan cubaan untuk ‘menebuk atap’ bagi mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya, tindakan itu jelas tidak menghayati semangat kerajaan perpaduan yang sedang diterajui di peringkat persekutuan dan negeri.

“Langkah ini dilakukan tanpa mempedulikan kebajikan rakyat, malah dibuat ketika kerajaan sedang berdepan krisis bekalan global dan berusaha menguruskan ekonomi serta mengurangkan beban rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, alasan 14 Adun berkenaan langsung tidak mempunyai kaitan dengan prestasi Menteri Besar Aminuddin Harun.

Dalam pada itu, Fahmi memberi jaminan bahawa pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar sedia ada akan berjalan seperti biasa.

Katanya, perkara itu telah pun disembah maklum oleh Pengerusi PH Anwar Ibrahim kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“PH akan kekal memberi kerjasama kepada kepimpinan kerajaan negeri demi kestabilan ekonomi dan kebajikan rakyat.

“PH juga akan terus mempertahankan peranan dan fungsi institusi Raja-Raja Melayu,”katanya.

Semalam, semua 14 Adun Umno mengumumkan menarik balik sokongan terhadap Aminuddin sebagai menteri besar.

Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias, berkata keputusan itu susulan kegagalan Aminuddin mengurus krisis didakwa melibatkan institusi perlembagaan negeri yang kini menjadi perhatian umum.

BN Negeri Sembilan kemudian mendakwa mempunyai majoriti mudah dalam DUN 36 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri, dengan sokongan lima Adun Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan kesediaan bekerjasama.

Gabungan BN-PN menyaksikannya mendapat 19 kerusi, mengatasi 17 oleh PH di DUN Negeri Sembilan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.