Aminuddin nafi poster tular exco baharu selepas Umno tarik sokongan

Aminuddin nafi poster tular exco baharu selepas Umno tarik sokongan

Menteri besar Negeri Sembilan itu berkata ia adalah usaha mencalarkan imej kerajaan negeri dengan cubaan memainkan sentimen perkauman.

exco bayangan
Terdahulu, satu poster tular senarai exco bayangan yang didakwa akan mengisi empat kekosongan di Negeri Sembilan selepas Adun Umno menarik sokongan.
SEREMBAN:
Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun menafikan laporan mendakwa beliau melantik barisan exco bayangan bagi mengisi kekosongan empat jawatan yang ditinggalkan Umno selepas semua 14 Adun Barisan Nasional (BN) menarik sokongan.

Aminuddin berkata penyebaran poster tular itu adalah usaha mencalarkan imej kerajaan negeri dengan cubaan memainkan sentimen perkauman.

“Wujud sebaran poster bagi mencalarkan imej kerajaan Negeri Sembilan. Mereka cuba memainkan sentimen perkauman. Ini adalah kerja-kerja mereka yang tidak bertanggungjawab dan mahu melihat keharmonian rakyat di negeri ini dicalarkan dengan sentimen perkauman.

“Mohon semua rakyat berwaspada dengan berita atau poster palsu yang tersebar dalam platform media sosial. Semoga Allah SWT melindungi kita semua dari fitnah akhir zaman,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian susulan poster tular yang memetik senarai exco bayangan yang didakwa akan mengisi empat kekosongan di Negeri Sembilan.

Semalam, Aminuddin berkata empat jawatan exco kerajaan negeri yang disandang Adun Umno dianggap kosong selepas kesemua wakil rakyat terbabit menarik sokongan kepada kerajaan negeri, dan pengisiannya akan ditentukan kemudian.

Seramai 14 Adun Umno-BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin sebagai menteri besar dan menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinannya.

Susulan itu, lima Adun Perikatan Nasional (PN) berkata mereka bersedia bekerjasama dengan 14 Adun Umno untuk membentuk kerajaan negeri baharu bagi memastikan kestabilan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.