
Jalaluddin yang juga Adun Pertang berkata, mana-mana pihak layak menjadi menteri besar dan beliau menyerahkan perkara itu kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
“Ada pihak mengatakan tindakan Umno ini menyusahkan rakyat dan mahu merebut kuasa untuk menjadi menteri besar.
“Ini bukan matlamat kita. Saya sudah menjadi exco kanan dan perbincangan kita, bukan saya nak jadi menteri besar. Sesiapa sahaja boleh jadi menteri besar. Saya boleh, Mustapha Nagoor (Adun Palong) boleh, Mohd Faizal Ramli (Adun Linggi) pun boleh.
“Yang di-Pertuan Besar memutuskan siapa akan menjadi menteri besar, bukan saya. Jadi ini bukan matlamatnya, jangan silap faham,” katanya dalam sidang media di Wisma Umno Negeri Sembilan.
Sementara itu, Jalaluddin memaklumkan Umno sudah menghantar permohonan rasmi petang semalam untuk menghadap Tuanku Muhriz bagi memaklumkan penarikan sokongan terhadap Aminuddin.
“Buat masa ini, saya belum lagi dititah menghadap baginda dan bersedia pada bila-bila masa untuk menghadap,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Jalaluddin juga mencadangkan satu sidang DUN khas dipanggil segera bagi menangani kemelut politik yang melanda negeri itu.
Beliau berkata, jika sidang DUN ditangguh dalam tempoh enam bulan seperti dimaklumkan, ia dikhuatiri akan mewujudkan ketidaktentuan dalam pentadbiran kerajaan negeri serta membuka ruang kepada pelbagai masalah baharu.
“Sidang DUN khas mesti dipanggil untuk memutuskan segala krisis politik yang berlaku demi kestabilan dan kepentingan kerajaan negeri,” katanya.