
Jurucakap kerajaan berkata perkara itu dikenal pasti susulan siasatan awal terhadap kes tersebut.
Katanya, keterangan seorang lelaki dirakam Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), namun individu berkenaan menafikan memuat naik kandungan terbabit.
“Pada waktu ini, SKMM sedang bekerjasama dengan platform Meta serta polis untuk menjalankan analisis forensik bagi mengesahkan beberapa perkara yang dibangkitkan dalam penafian itu,” katanya dalam sidang media mingguan di Angkasapuri.
Fahmi berkata, antara fokus siasatan adalah untuk menentukan sama ada wujud elemen akaun palsu atau tindakan ‘agent provocateur’ yang sengaja mencipta akaun bagi menyebarkan kandungan sensitif.
Katanya, modus operandi itu berpotensi memangsakan pihak lain selain mencetuskan kemarahan awam terhadap isu melibatkan agama, kaum dan institusi diraja (3R).
“Isu ini masih dalam penelitian dan kita serahkan kepada SKMM serta polia untuk membuat kenyataan lanjut selepas siasatan lengkap,” katanya.
Beliau menegaskan, sebarang tindakan atau hukuman hanya akan ditentukan selepas siasatan selesai dan pihak yang benar-benar bertanggungjawab dikenal pasti.
Pada masa sama, Fahmi mengingatkan orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan kandungan yang belum disahkan, kerana ia boleh menjejaskan siasatan.
Sebelum ini, Bukit Aman dilaporkan membuka kertas siasatan terhadap pemilik akaun Facebook ‘Huayan The Pureland Learning Centre’ dipercayai memuat naik kandungan menghina Sultan Selangor.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.