MB Selangor tegur kenyataan semberono gesa pecat exco Umno

MB Selangor tegur kenyataan semberono gesa pecat exco Umno

Amirudin Shari mengingatkan pemimpin kerajaan perpaduan tidak mengeluarkan kenyataan boleh cetus ketidakstabilan politik.

Amirudin Shari berkata tumpuan kerajaan perpaduan Selangor kini mendepani cabaran ekonomi dan geopolitik global berbanding perdebatan politik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Amirudin Shari menegur kenyataan Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor Dr N Sathia Prakash supaya exco kerajaan negeri daripada Umno Rizam Ismail dipecat.

Beliau yang juga ketua PKR Selangor mengingatkan pemimpin kerajaan perpaduan tidak mengeluarkan kenyataan ‘semberono’ seumpama itu yang boleh mencetuskan ketidakstabilan politik.

Menurutnya, kerajaan negeri yang dibentuk atas dasar kepercayaan perlu terus menumpukan usaha melaksanakan dasar demi manfaat rakyat, bukannya terjerumus dalam polemik politik.

“Tatkala kita menghormati pandangan semua pihak yang disuarakan dalam kerangka demokrasi, itu bukanlah bermakna kita harus memberi pendapat semberono yang boleh mencetuskan ketidakstabilan dan menggugat kepentingan rakyat.

“Justeru saya menyeru terutama pimpinan komponen perpaduan supaya sentiasa berhikmah dalam memberikan pandangan,” katanya kepada FMT.

Semalam, Malaysiakini melaporkan gesaan Sathia supaya Rizam dipecat daripada barisan exco Selangor susulan tindakan partinya yang didakwa mahu menjatuhkan kerajaan pimpinan PKR di Negeri Sembilan.

Rizam, Adun Sungai Air Tawar memegang portfolio kemajuan desa, perpaduan & pengguna.

Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bergabung dan bekerjasama membentuk kerajaan Selangor pasca PRN 2023.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata tumpuan kerajaan perpaduan Selangor kini adalah mendepani cabaran ekonomi dan geopolitik global yang berpotensi menjejaskan kesejahteraan rakyat berbanding perdebatan politik.

Katanya, Selangor pernah melalui krisis besar seperti pandemik Covid-19 dan kini berdepan risiko baharu, termasuk krisis tenaga global serta ketidaktentuan antarabangsa.

“Ini waktunya untuk kita lebih mendekati rakyat dan memimpin dengan menawarkan solusi kepada permasalahan yang bakal dihadapi rakyat akibat tekanan global.

“Jangan kita hilang fokus dan beralih kepada politik semata-mata.

“Tumpuan kita seharusnya untuk menggembleng ikhtiar memimpin rakyat dengan penuh keinsafan serta tanggungjawab,” katanya.

Krisis politik Negeri Sembilan tercetus selepas Mubarak Dohak, bekas Undang Sungei Ujong, mengumumkan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar dalam sidang media bersama tiga Undang lain pada 19 April.

Bagaimanapun, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri tidak mengiktiraf penyingkiran itu kerana Mubarak telah disingkirkan secara sah sebagai Undang pada 13 Mei tahun lalu kerana melanggar hukum adat.

Isnin lalu, semua 14 Adun Umno mengumumkan menarik balik sokongan terhadap Aminuddin sebagai menteri besar.

BN Negeri Sembilan kemudian mendakwa mempunyai majoriti mudah dalam DUN 36 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri, dengan sokongan lima Adun Perikatan Nasional.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.