
Bekas timbalan presiden PKR itu berkata, langkah Umno berisiko menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat, khususnya pengundi atas pagar.
“Yang tidak diteliti oleh Umno ialah kesan luar jangka daripada tindakan ini. Ia boleh mengingatkan rakyat, khususnya pengundi atas pagar, kenapa Umno pernah dikalahkan dan berada di kedudukan tercorot berbanding gabungan lain dalam PRU lalu,” katanya pada aplikasi X.
Umno hanya memenangi 26 daripada 119 kerusi yang ditandinginya pada PRU15.
Di Negeri Sembilan, BN menang 14 DUN manakala 17 oleh Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) menawan lima kerusi.
BN dan PH kemudiannya bergabung menjadi kerajaan di negeri itu.
Isnin lalu, semua 14 Adun Umno mengumumkan menarik balik sokongan terhadap Aminuddin sebagai menteri besar.
BN Negeri Sembilan kemudian mendakwa mempunyai majoriti mudah dalam DUN 36 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri, dengan sokongan lima Adun Perikatan Nasional.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, berkata walaupun Umno mungkin melihat langkah di Negeri Sembilan sebagai strategi mengukuhkan kedudukan menjelang PRU16, tindakan itu boleh memberi kesan sebaliknya.
Katanya, pengundi atas pagar kini tidak mudah dipengaruhi dan persepsi mereka sering menjadi faktor penting dalam menentukan keputusan pilihan raya.
“Dalam landskap politik hari ini, pengundi atas pagar tidak lagi mudah dipengaruhi. Persepsi mereka boleh menghasilkan kesan luar jangka yang besar terhadap mana-mana parti politik,” katanya.