
Ini susulan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini dipengerusikan Azizul Azmi Adnan, yang sebulat suara menolak rayuan Suhaili untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman beliau, memihak kepada Bersatu.
Mahkamah turut berpendapat, keputusan Mahkamah Tinggi untuk membatalkan saman tersebut adalah wajar berdasarkan keadaan kes.
“Kami berpendapat terdapat autoriti yang mengikat berhubung prinsip di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan yang mengecualikan bidang kuasa mahkamah daripada mendengar pertikaian berkaitan pertubuhan dan ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Azizul yang bersidang bersama Hakim Ong Chee Kwan dan Amarjeet Singh turut memerintahkan Suhaili agar membayar kos guaman RM30,000.
Suhaili sebelum ini memfailkan saman pada 2024 dengan memohon perisytiharan bahawa tindakan menamatkan keahliannya dalam parti itu tidak sah.
Bersatu sebelum itu menggantung keahlian beliau selama enam tahun pada November 2023 susulan kenyataan media Suhaili yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Suhaili mendakwa, kenyataan tersebut dibuat berikutan kegagalan parti lamanya menyalurkan dana bagi membantu rakyat di Labuan yang sedang berdepan tekanan kos sara hidup.
Pada 15 April tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan saman berkenaan selepas memutuskan bahawa tindakan Bersatu menamatkan keahlian Suhaili merupakan urusan dalaman parti dan oleh itu tertakluk kepada Seksyen 18C Akta Pertubuhan, yang menghalang perkara berkaitan parti politik dibawa ke mahkamah.
Dalam prosiding hari ini, peguam Suhaili, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berhujah, kes tersebut wajar dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan kerana melibatkan isu keabsahan Seksyen 18C.
Bagaimanapun, peguam Chetan Jethwani yang mewakili Bersatu menyokong keputusan Mahkamah Tinggi dengan berhujah bahawa Suhaili sebagai Ahli Parlimen berhak menyuarakan pandangan, namun perlu menanggung akibat sekiranya tindakannya bercanggah dengan parti.