
Tertuduh, P Shailen, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud, menurut Sinar Harian.
Berdasarkan semua pertuduhan, dia didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram dari akaun bank milik sebuah syarikat ke akaun bank sebuah lagi syarikat milik tertuduh.
Jumlah itu masing-masing RM4,949,965.99, RM4,749,966.01, RM5,299,966, RM2,299,964.69, RM29,696,330.51, RM38,281,920.56 dan RM43,060,576.35.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Subang Jaya antara 11 Julai 2012 hingga 20 November 2013.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum 15 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzati Sapifee mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Hafizuddin Salehuddin.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin dengan jumlah yang diberi Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung kes lain, iaitu RM100,000 dengan seorang penjamin.
Hakim turut menetapkan tertuduh dikehendaki melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali setiap dua bulan, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 11 Jun depan.