2 beranak antara 3 dituduh merompak, cederakan lelaki

2 beranak antara 3 dituduh merompak, cederakan lelaki

Tertuduh, G Thananjayan, Nur Fadzlin Mohamed Salim dan ibunya, Azura Abdul Latiff bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan.

mahkamah majistret georgetown
Tertuduh, G Thananjayan, 41,  Nur Fadzlin Mohamed Salim, 27, dan ibunya, Azura Abdul Latiff, 42, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan serta menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Dua beranak antara tiga yang didakwa di Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan serta menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki.

Tertuduh, G Thananjayan, 41, Nur Fadzlin Mohamed Salim, 27, dan ibunya, Azura Abdul Latiff, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Juraidah Abbas, menurut Harian Metro.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa melakukan rompakan serta dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang lelaki berusia 32 tahun.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Batu Ferringhi di sini, pada 5.30 pagi, 13 April lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta dikenakan denda atau sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Anuarul Hakim Abdul Muen mengendalikan pendakwaan manakala semua tertuduh diwakili peguam A Mahesh.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM8,000 setiap seorang namun Mahesh memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya bekerja di premis kitar semula.

Menurutnya, tertuduh yang berusia 27 tahun bekerja sebagai pembantu klinik manakala ibunya tidak mempunyai pekerjaan.

Mahesh berkata, semua tertuduh menetap di negeri itu dan tidak mempunyai risiko melarikan diri selain memberi kerjasama baik sepanjang siasatan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM4,000 kepada setiap tertuduh dengan seorang penjamin warga tempatan selain menetapkan syarat tambahan supaya mereka tidak mendekati mangsa atau saksi sehingga kes selesai.

Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 3 Jun untuk mendapatkan laporan perubatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.