11 didakwa anggotai kumpulan jenayah terancang

11 didakwa anggotai kumpulan jenayah terancang

Mereka akan ditahan sehingga kes selesai.

kompleks mahkamah kuala lumpur
11 individu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang.
KUALA LUMPUR:
Sebelas lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

A Raja Ratanam, K Sunthreson, C Vijaya Kumar, N Nadarajah, T Raman, R Vijayan, M Kumaaran, N Harichandran, S Maran, Suwaran Singh dan Atif Ali Khan didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun
Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan dikenali sebagai Gang RT6.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Sentul antara 14 Jan 2020 dan 27 April lalu.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Hakim Izralizam Sanusi menetapkan 24 Jun untuk pengurusan kes seterusnya dan memerintahkan semua tertuduh ditahan sehingga prosiding kes selesai.

Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kassim dan Yazid Mustaqim Roslan mengendalikan pendakwaan, manakala peguam Rajpal Singh, M Mathaban dan Kevin Francis mewakili Ratanam, Kumaaran, Harichandran, Vijaya Kumar, Vijayan dan Maran.

Lima lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.