Penjaga pusat kebajikan dijel 11 tahun amang seksual 2 budak lelaki

Penjaga pusat kebajikan dijel 11 tahun amang seksual 2 budak lelaki

Mahkamah Sesyen Ampang juga jatuh hukuman lima sebatan terhadap Retna Velu yang mengaku salah atas enam tuduhan.

Retna Velu (kiri) dan S Valan (kanan) Tiga Individu didakwa Kes Gangguan Seksual dan Cederakan Kanak-kanak di Pusat jagaan Batu Cave
V Retna (kiri) ada sembilan lagi pertuduhan berkaitan kesalahan sama membabitkan mangsa berbeza dengan prosiding jatuh hukum ditetapkan pada 4 Jun ini.
KUALA LUMPUR:
Seorang penjaga rumah kebajikan kanak-kanak dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang selepas mengaku bersalah atas enam pertuduhan melakukan amang seksual serta persetubuhan luar tabii terhadap dua kanak-kanak lelaki, awal tahun ini.

Hakim Norshila Kamarudin yang menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun bagi setiap pertuduhan terhadap Retna Velu, 25, turut memerintahkan hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 3 April.

Bagi hukuman sebat, tertuduh dikenakan satu sebatan terhadap setiap pertuduhan pertama hingga kelima, manakala tiada sebatan bagi kesalahan di bawah Seksyen 15 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.

Selain itu, Norshila memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan perintah pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman.

Mengikut tiga pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia lapan dan 10 tahun lima bulan di sebuah pusat jagaan di Batu Caves, antara Februari dan Mac.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan sebat.

Retna juga didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua mangsa dan di lokasi sama pada Mac mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Bagi satu lagi pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa yang berusia 10 tahun lima bulan di lokasi dan tarikh yang sama, mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, ibu kepada mangsa berumur lapan tahun ketika memberi kenyataan berkaitan impak kejadian terhadap mangsa berkata selepas kejadian, anaknya menjadi pendiam dan berasa takut untuk bercakap serta mengenali orang lain.

“Saya terima aduan daripada sekolah bahawa pelajaran anak saya merosot dan dia sering berasa letih. Bagaimanapun, guru-guru di sekolah memberi kaunseling kepada anak saya dan kini dia nampak baik,” katanya.

Sementara itu, ibu saudara kepada mangsa berusia 10 tahun lima bulan berkata emosi anak saudaranya itu kini tidak stabil, takut dengan orang tidak dikenali terutama lelaki dan sering menceritakan kejadian hitam tersebut kepada keluarga.

Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie yang mengendalikan kes bersama Muhammad Hairul Iqram Hairuddin, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran, dengan mengambil kira faktor kepentingan awam dan kesan psikologi mendalam terhadap mangsa.

“Pihak pendakwaan memohon hukuman penjara secara berasingan terhadap enam pertuduhan itu, selain memohon perintah pengawasan polis serta tertuduh diberikan kaunseling selama tempoh pemenjaraan,” katanya.

Retna yang tidak diwakili peguam hanya merayu agar mahkamah mengurangkan hukuman terhadapnya.

Turut hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak pengadu dan Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor ialah, S Kirthen serta S Premila.

Lelaki itu masih berdepan sembilan lagi pertuduhan berkaitan kesalahan sama membabitkan mangsa berbeza di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ampang, Ho Kwong Chin dan prosiding jatuh hukum bagi kesalahan itu ditetapkan pada 4 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.