
A Lekeswaran, 27, didakwa cuba membunuh B Yoga Sundram, 40, di hadapan bar Millionaires Kuala Lumpur di Jalan Telawi kira-kira 3.15 pagi pada 22 April.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, atau penjara sehingga 20 tahun jika mangsa mengalami kecederaan.
Hakim Mazuliana Abdul Rashid menolak permohonan ikat jamin oleh peguam bela Izz Khan Nor Khan dan menetapkan 10 Jun untuk sebutan semula kes.
Timbalan Pendakwa Raya J Banusha berkata kesalahan itu tidak boleh dijamin, dengan menyatakan terdapat risiko tertuduh melarikan diri berikutan tahap keseriusan pertuduhan.
Beliau turut memaklumkan mahkamah bahawa mangsa, yang menjalankan perniagaan besi buruk, masih berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.
“Pihak pendakwaan bimbang tertuduh mungkin mengganggu mangsa dan keluarganya, serta saksi lain,” katanya.
Izz Khan bagaimanapun meminta mahkamah menggunakan budi bicara di bawah Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah yang membenarkan ikat jamin walaupun bagi kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Katanya, tertuduh sudah bertunang dan memperoleh pendapatan RM1,200 sebulan, selain keluarganya akan memastikan dia tidak menghampiri mangsa atau saksi.
Namun Banusha mengekalkan bantahan pihak pendakwaan terhadap ikat jamin dan berkata tertuduh dijangka menghadapi satu lagi pertuduhan berkaitan pemilikan senjata api di Mahkamah Sesyen Klang esok.