
Peguamnya, Amer Hamzah Arshad memberitahu Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin bahawa notis rayuan telah difailkan di Mahkamah Rayuan pada 6 Mei.
Apabila ditanya mahkamah sama ada penangguhan prosiding sementara akan dipohon sementara menunggu rayuan, Amer berkata tiada rancangan untuk berbuat demikian ketika ini.
Mahkamah menetapkan 29 Jun untuk pengurusan kes selanjutnya.
Pada 28 April, Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Ruwena Nurdin, menolak permohonan Shamsul itu atas alasan ia tidak memenuhi syarat ditetapkan bawah Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.
Dalam permohonan difailkan Februari lalu, Amer Hamzah berhujah, ada persoalan undang-undang baharu serta isu kompleks wajar ditentukan Mahkamah Tinggi dan akhirnya Mahkamah Persekutuan.
Pada 4 Dis lalu, bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan menerima RM100,000 daripada ahli perniagaan, Albert Tei sebagai dorongan membantu syarikat Tei mempunyai kepentingan mendapat kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Dia juga didakwa menerima wang tunai RM40,000 daripada Tei untuk tujuan sama, selain perabot dan barangan elektrik masing-masing bernilai RM14,580 dan RM22,249.
Keesokannya, dia didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima bayaran sewa sebanyak RM64,924 daripada Tei, sebagai dorongan membantu syarikat Tei mempunyai kepentingan mendapatkan kelulusan sama.
Kes di Shah Alam kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama pertuduhan terdahulu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan.