
Rosmaini, 43, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Najwa Che Mat, lapor Harian Metro.
Mengikut pertuduhan, Rosmaini didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Nurfitri Moktar, 39, dengan menggunakan kerusi plastik dan getah paip di sebuah rumah di Bandar Amanjaya, kira-kira 5 petang, 29 Mac lalu.
Tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan sama ke atas isterinya itu menggunakan penyangkut baju dan penyangkut besi di lokasi sama, kira-kira 9 pagi, 23 April lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan denda atau sebat.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Khairul Anuar Abdul Halim, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ruzanna Abdul Rahim.
Khairul memaklumkan mahkamah walaupun kes berkenaan boleh dijamin, namun proses itu tidak boleh dilakukan berikutan status tertuduh sebagai banduan yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Ruzanna dalam rayuannya meminta budi bicara mahkamah untuk membenarkan jaminan kerana anak guamnya mempunyai dua isteri dan menyara 11 anak dengan tujuh daripadanya masih bersekolah.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan tertuduh tidak boleh dijamin kerana masih dipenjara dan menetapkan 16 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula bagi proses serahan dokumen.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita cedera parah di beberapa bahagian badan dipercayai dipukul suaminya sehingga menyebabkan mangsa turut mengalami keguguran.
Suspek yang masih dalam jaminan sementara menunggu keputusan rayuan satu lagi kes di Mahkamah Rayuan ditahan polis di sekitar Alor Setar selepas melarikan diri selepas kejadian itu.
Isnin lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan Rosmaini dihukum penjara maksimum 14 tahun kerana menyebabkan cedera parah ke atas Jahidah Nordin sehingga koma.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Azman Abdullah, selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk menaikkan hukuman penjara daripada 10 tahun sebelum ini dikenakan terhadap Rosmaini.
Mahkamah juga turut memerintahkan Rosmaini membayar pampasan kepada Jahidah sebanyak RM25,000 menerusi ahli keluarga dan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar pampasan itu.