
Syarikat Mee Hiong Yuen Groundnut Factory Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya, Wong Hoong Kit, 64, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasaMelayu di hadapan Hakim Nuur Hafiedzah Md Daud, menurut Harian Metro.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Wong selaku Orang Kena Saman (OKS) didapati memperihalkan sebagai halal bagi tujuh jenis pembungkusan produk makanan berupa kacang memglembu cap Pemancing yang bertentangan dengan Perenggan 4 (1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Perbuatan itu dilakukan di premis Mee Hiong Yuen Groundnut Factory Sdn Bhd di Jalan Besar Sungai Siput (U), Sungai Siput, kira-kira 11 pagi, 3 November 2025.
Ianya kesalahan mengikut Perenggan 8 (a) perintah yang sama yang boleh dihukum mengikut Perenggan 8 (A) perintah berkenaan yang memperuntukkan nilai denda maksimum RM200,000 dan denda tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan kedua dan selanjutnya jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak Muhamad Hanif Abd Azis mengendalikan pendakwaan manakala syarikat itu tidak diwakili peguam.
Mengikut fakta kes, kesalahan itu tersingkap melalui pemeriksaan dan operasi bersepadu yang dijalankan antara KPDN bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), dengan pemeriksaan mendapati premis itu menjual sejumlah produk makanan berlogo halal sedangkan pemeriksaan JAIPk mendapati logo halal pada produk terbabit tidak sah.
Ia turut menyatakan kilang tempat operasi serbuan dijalankan itu bukan pemegang sijil pengesahan halal Malaysia namun syarikat sama hanya memegang sijil pengesahan halal Malaysia bagi premis kilang lain iaitu di Jalan Lintang, Sungai Siput.
Terdahulu, ketika mitigasi hukuman, OKS berkata kilang yang diuruskannya di Jalan Besar Sungai Siput itu selasai mendapatkan pensijilan halal yang sudah diperbaharui hanya 13 hari selepas serbuan dijalankan ke atas kilang itu iaitu pada 16 November 2025
OKS turut mengemukakan alasan bahawa kesalahan itu adalah berkaitan teknikal apabila pembungkusan produk terbabit menggunakan alamat pejabat kilang syarikat itu di Jalan Lintang yang sememangnya mempunyai sijil pengesahan halal Malaysia.
“Selepas serbuan itu, kami hentikan serta-merta produksi di kilang dan membetulkan semula alamat pada produk selain menurunkan logo halal itu,” kata OKS juga salah seorang daripada tiga pengarah syarikat.
Selain hukuman denda, mahkamah menetapkan supaya tujuh jenis produk kacang menglembu yang disita, membabitkan sebanyak 15 tin dan 646 unit meliputi kira-kira 211.6 kg dilucuthakan kepada kerajaan Malaysia bagi dilupuskan.
OKS membayar denda itu.