
Di Mahkamah Majistret, tertuduh Fadwan Abd Muaain, 42, mengaku bersalah atas tuduhan mengurung dan mencederakan mangsa selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin, lapor Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan pertama, Fadwan yang bekerja sebagai pemungut hutang didakwa mengurung remaja itu dengan mengikat tangan dan kaki mangsa di sebuah pangsapuri di Seksyen 32 Shah Alam antara 8.05 pagi sehingga 11.50 pagi, 11 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Fadwan juga didakwa menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, pada waktu, tarikh dan lokasi sama, serta dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dengan peruntukan hukuman serupa.
Wan Noora kemudiannya menjatuhkan hukuman sembilan bulan bagi kesalahan mengurung mangsa dan hukuman penjara enam bulan bagi kesalahan mencederakan. Beliau juga mengarahkan hukuman itu berjalan berasingan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amirah Zahari sementara tertuduh diwakili peguam Adli Hakim Azami dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Fadwan juga mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa sama di lokasi, masa dan tarikh serupa.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dihukum dengan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, Hakim Rasyihah Ghazali menetapkan 8 Jun depan untuk fakta kes dan jatuh hukum.
Bagi kes ini, pendakwaan dikenalikan Timbalan Pendakwa Raya, KS Rinisha Priyya manakala tertuduh tidak diwakili peguam.