7 lelaki didenda bakar suar di Bukit Bintang

7 lelaki didenda bakar suar di Bukit Bintang

Semua tertuduh mengaku salah lakukan kacau ganggu di tempat awam dan didenda antara RM50 hingga RM4,500 oleh mahkamah.

bakar suar bukit bintang
Tangkap layar menunjukkan aksi berbahaya sekumpulan individu yang membakar suar di atas sebuah pikap di tengah Jalan Sultan Ismail di Bukit Bintang.
PETALING JAYA:
Tujuh lelaki didenda antara RM50 hingga RM4,500 oleh tiga Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana melakukan kekacauan di tempat awam dengan membakar suar di Bukit Bintang Isnin lalu.

Majistret Tg Shazwany Yasmyn Tuan Roslan, Aina Azahra Arifin dan Farah Nabihah Muhammad Dan menjatuhkan hukuman itu selepas semua tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan tersebut, lapor Kosmo.

Tg Shazwany Yasmyn menjatuhkan hukuman dengan RM4,500 terhadap Mohamad Azhar Mohamed Idris, 31, manakala di hadapan Farah Nabihah, tertuduh Muhammad Haziq Akmal Mohd. Yazid, 24, didenda RM50.

Sementara itu hadapan Aina Azahra pula lima tertuduh iaitu Amir Adzim Shahrul Nizam, 25, Khairul Hamizan Zainudin, 28, Muhammad Izz Mifzal Mirza Mohd Noordzalie, 22, Muhammad Ariff Aiman Mohamed Nasir, 23 dan Muhammad Ikhwan Daniel Azman, 25, masing-masing didenda RM400.

Mengikut pertuduhan, Azhar didakwa memandu kenderaan pacuan empat roda telah berhenti dengan sengaja di tengah lampu isyarat yang mungkin bahaya kepada pengguna di persimpangan Jalan Sultan Ismail dan Jalan Bukit Bintang, pukul 2.07 pagi, 18 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 48 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang berdepan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan maksimum RM5,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Haziq Akmal, pula didakwa mencetuskan api dengan membakar suar yang membahayakan keselamatan pada masa, tarikh dan lokasi sama. Dia didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Kesalahan Kecil 1955, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,

Lima tertuduh didakwa melakukan mudarat awam dengan melakukan kacau ganggu, di lokasi, masa dan tarikh sama. Mereka didakwa Seksyen 290 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 35 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM400.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hench Go, Iman Nurhidayah Ezam dan Nurbatrisyia Mohd Razib manakala peguam Khairul Muktar Mkhddan Simret Singh mewakili semua tertuduh.

Selasa lalu, polis menahan 15 individu selepas aksi mereka membakar suar di atas sebuah pikap di tengah Jalan Sultan Ismail di Bukit Bintang bagi mempromosikan jualan pakaian, tular di media sosial.

Ketua Polis Dang Wangi, Sazalee Adam, berkata penahanan suspek terdiri daripada 14 lelaki dan seorang wanita berusia antara 17 hingga 30 tahun dibuat dalam operasi sekitar Batu Caves, Shah Alam, Kajang dan Dengkil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.