Lelaki didakwa guna nombor MyKad 3 individu beli BUDI95

Lelaki didakwa guna nombor MyKad 3 individu beli BUDI95

Tertuduh Azman Aziz mangaku tak salah di Mahkamah Majistret Baling guna nombor MyKad individu lain beli kuota petrol 594.459 liter.

gavel
Tertuduh Azman Aziz didakwa di Mahkamah Majistret Baling guna nombor MyKad tiga individu untuk beli petrol bersubsidi BUDI95 berjumlah 594.459 liter pada Mac dan April lalu. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Baling atas 13 tuduhan menggunakan nombor MyKad milik tiga individu untuk membeli petrol bersubsidi pada Mac dan April lalu.

Tertuduh, Azman Aziz, 53, membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan selepas semua tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak, lapor Berita Harian.

Mengikut pertuduhan, Azman didakwa berpura-pura sebagai tiga individu lain berusia 23, 25 dan 57 tahun dengan menggunakan nombor MyKad milik mereka untuk membeli kuota petrol bersubsidi di bawah skim BUDI95.

Ia membabitkan kuota petrol berjumlah 594.459 liter bagi semua pertuduhan sehingga menyebabkan ketiga-tiga individu berkenaan mengalami kerugian kuota subsidi bulanan.

Semua kesalahan itu dilakukan di Stesen BH Petrol Padang Lengkuas, di Baling antara 18 Mac hingga 24 April lalu.

Berikutan itu dia didakwa mengikut Seksyen 416 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Masniah Dolah.

Mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 8 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.