4 didakwa bunuh, buang mayat pemuda OKU

4 didakwa bunuh, buang mayat pemuda OKU

Mereka didakwa membunuh Muhammad Zakir Fikry Mohd Zainal dan membuang mayat mangsa di tepi jalan 13 April dan 14 April lalu.

gavel
Empat buruh dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas pertuduhan membunuh dan membuang mayat pemuda Orang Kurang Upaya. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas pertuduhan membunuh pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) di Kampung Binjai, 13 April lalu.

Tertuduh yang juga buruh, Muhammad Hakim Zikrullah Mohd Zamran, 25, dan Mohamed Eerman Daniel Mohamed Afrizal, 27, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid, menurut Harian Metro.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa membunuh Muhammad Zakir Fikry Mohd Zainal, 20, di Kampung Binjai, Banggu, pada 11 malam, 13 April lalu.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara hingga 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli mengendalikan pendakwaan dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 6 Julai sebagai sebutan semula kes.

Di Mahkamah Sesyen pula, Hakim Zikrullah dan Eerman Daniel bersama dua rakan mereka iaitu Mohamad Areef Mohd Zuki, 25, dan Mohamad Aiman Shah Mohd Azizi, 26, turut didakwa atas pertuduhan mengetahui pembunuhan membabitkan mangsa yang sama selain membuang mangsa di tepi jalan pada 14 April lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Berdasarkan pertuduhan, mereka dituduh secara bersama didakwa mengetahui kesalahan bunuh membabitkan mangsa, Zakir Fikry dan membuang mayat mangsa di tepi jalan dengan niat hendak mengelak Hakim Zikrullah dan Eerman Daniel daripada dikenakan hukuman undang-undang.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 3.30 pagi di tepi jalan Kampung Chap Bekelam, Bachok, 14 April lalu.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan juga denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Kamilah Che Ibrahim manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 25 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.