
Danish Raman Kamar Kumaresan didakwa membunuh A Doraisingam, 61, dan isterinya A Menagah, 56, di Jalan Ampang menghala ke Ampang Point kira-kira 5.30 pagi pada 2 Mei.
Tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri kerana kes bunuh terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika hukuman mati tidak dikenakan.
Mahkamah menetapkan 17 Ogos untuk penyerahan laporan bedah siasat.
Peguam Devinder Kaur Dhaliwal dan Mansheel Kaur mewakili Danish, manakala Timbalan Pendakwa Raya Faizal @ Amrin Noor Hadi mewakili pihak pendakwaan.
Ketika ditemui selepas prosiding, anak saudara Doraisingam, Suresh Kumar, 47, berkata keluarga Danish telah menyatakan hasrat untuk bertemu dengan keluarga pasangan itu.
“Namun kami masih belum bertemu mereka. Kami tidak mengharapkan apa-apa, selain keadilan ditegakkan,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata pasangan itu mempunyai tiga orang anak berusia antara 19 hingga 26 tahun yang masih cuba menyesuaikan diri dengan kehilangan ibu bapa mereka.
Suresh menambah, bapa saudaranya biasanya menghantar isterinya ke tempat kerja di Hospital Gleneagles setiap pagi.