Dendam lama dipercayai punca OKU dibunuh di Kelantan

Dendam lama dipercayai punca OKU dibunuh di Kelantan

Polis berkata mangsa dipercayai dipukul di sebuah rumah di Kota Bharu, sebelum ditinggalkan di tepi jalan Padang Lati, Bachok.

Mohd Yusoff Mamat
Ketua Polis Kelantan Yusoff Mamat berkata kes itu dianggap selesai dengan penahanan tujuh suspek berusia 25 hingga 52 tahun, termasuk sepasang suami isteri, yang semuanya merupakan rakan dan kenalan mangsa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dendam lama dipercayai punca seorang pemuda kurang upaya (OKU) dibunuh di Padang Lati, Bachok pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Kelantan, Yusoff Mamat, berkata kes itu dianggap selesai dengan penahanan tujuh suspek berusia 25 hingga 52 tahun, termasuk sepasang suami isteri, yang semuanya merupakan rakan dan kenalan mangsa, serta perselisihan faham berlaku dalam kalangan mereka.

Menurutnya, empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau, tetapi ujian air kencing mendapati semuanya negatif dadah.

“Mangsa dipercayai dipukul di sebuah rumah di Kota Bharu, sebelum diletakkan di tepi jalan Padang Lati, Bachok,” katanya menurut Berita Harian selepas menghadiri perhimpunan bulanan IPK Kelantan di Kota Bharu.

“Suspek diletak di tepi jalan dengan kecederaan teruk bagi dilihat sebagai mangsa kemalangan, bukannya dipukul sebelum meninggal dunia keesokan hari ketika menerima rawatan di hospital.”

Beliau berkata, dalang utama membabitkan dua lelaki berusia 25 dan 28 tahun, yang dibantu individu lain, termasuk meletakkan mangsa di tepi jalan, dengan jarak lokasi mangsa dipukul dan ditinggalkan kira-kira 6.5km.

Jelasnya, suspek sedang direman untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mereka akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.

Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Zakir Fikry Mohd Zainal, 20, maut dipercayai akibat dipukul.

OKU pembelajaran itu yang cedera parah di kepala meninggal dunia pada 12.55 pagi ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.