
Ketua Polis Bachok, Mohamad Ismail Jamaluddin, berkata maklumat kebakaran itu diterima kira-kira 4.30 petang semalam, di mana pengadu dimaklumkan saksi bahawa kawasan semak dan rangka kenderaan di depan sebuah rumah terbengkalai sedang terbakar, sebelum bergegas ke lokasi bersama beberapa penduduk.
Beliau berkata, setibanya di tempat kejadian, api sedang marak dan merebak ke arah kawasan berhampiran rumah pengadu.
“Kebakaran bagaimanapun berjaya dipadamkan orang awam,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kebakaran berlaku di kawasan lapang berdekatan rumah terbengkalai hingga ke depan rumah pengadu, termasuk tanaman serta beberapa barangan seperti pokok kelapa, rangka Proton Wira, kayu binaan dan pagar besi.
Jelasnya, hasil siasatan menemui kesan pembakaran sampah atas tanah milik wanita terbabit yang terletak bersebelahan kawasan kebakaran dan saksi mendakwa suspek dilihat membakar sampah kira-kira 11.30 pagi semalam.
Sehubungan itu, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 285 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai dengan api atau bahan mudah terbakar sehingga membahayakan harta benda.
Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan pembakaran terbuka tanpa kawalan kerana boleh mengundang risiko kebakaran, selain berdepan tindakan undang-undang.