Penjenayah Jepun dideportasi selepas 7 tahun diburu

Penjenayah Jepun dideportasi selepas 7 tahun diburu

Tindakan dilaksanakan semalam susulan permohonan pihak berkuasa Jepun apabila suspek turut disenaraikan dalam Notis Merah Interpol.

Pengarah JSJ Bukit Aman M Kumar berkata siasatan mendapati suspek mengubah identiti dan kewarganegaraan kepada Myanmar. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis mendeportasi seorang penjenayah buruan warga Jepun yang dikehendaki bagi kes pembunuhan di negara itu pada 2018.

Tindakan dilaksanakan Bahagian NCB/Interpol (D12), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, semalam, susulan permohonan pihak berkuasa Jepun selepas suspek turut disenaraikan dalam Notis Merah Interpol.

Suspek sebelum itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Kedah atas kesalahan bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Pengarah JSJ Bukit Aman, M Kumar, berkata siasatan mendapati suspek mengubah identiti dan kewarganegaraan kepada Myanmar.

Katanya, pengesahan identiti dibuat melalui siasatan saintifik dan forensik termasuk perbandingan cap jari, pengecaman wajah serta padanan DNA dengan profil diterima dari Jepun.

“Pada 27 Ogos 2025, suspek didakwa di Mahkamah Alor Setar dan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan bagi kesalahan bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, 10 bulan bawah Seksyen 12(2) akta sama, serta lapan bulan bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan.

Kumar berkata, kolaborasi itu mencerminkan komitmen berterusan polis dalam membanteras jenayah rentas sempadan serta memperkukuh kerjasama keselamatan antarabangsa.

Beliau menegaskan Malaysia tidak akan menjadi tempat perlindungan bagi individu yang cuba melarikan diri daripada proses keadilan jenayah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.