
Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad, berkata selain suspek lelaki tempatan berusia 24 tahun itu, pihaknya turut menahan dua lagi individu dipercayai ahli sindiket dan wanita tempatan berusia 22 tahun yang juga teman wanita kepada ketua sindiket.
Katanya, polis turut merampas pelbagai jenis dadah seberat 12.95kg yang dianggarkan bernilai RM1.8 juta dalam serbuan pada 12.30 tengah malam itu.
“Dalam serbuan itu, kita memeriksa dan menggeledah satu unit rumah sebelum menjumpai empat individu berkenaan.
“Selain itu, turut dijumpai 15 paket dadah disyaki MDMA seberat lebih 11kg, 13 paket disyaki serbuk ekstasi seberat 342 gram; 20 gram disyaki ketamin, 110 gram disyaki syabu dan lebih 560 gram atau 1,796 pil disyaki Erimin 5.
“Kita turut merampas pelbagai peralatan membungkus semula dadah,” katanya pada sidang media di IPK Johor hari ini, menurut Harian Metro.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut menemui sebuah kereta Volkswagen Golf di parkir pangsapuri berkenaan yang membawa penemuan tiga paket dadah disyaki ketamin seberat 240 gram.
“Siasatan lanjut ke atas kereta suspek ini kita mendapati ia adalah kereta ‘scrap’ dan nombor pendaftarannya adalah milik Perodua Myvi.
“Selain barangan yang dirampas, kita turut menyita sebuah Honda Jazz, sebuah kereta BMW dan wang tunai RM1,600 dan SGD100 (RM310),” katanya.
Ab Rahaman berkata sindiket terbabit dipercayai aktif sejak Januari lalu dengan menjadikan unit pangsapuri sewa sebagia tempat membungkus semula dadah untuk diedar.
Katanya, sindiket dipercayai mengedar dadah berkenaan ke pusat-pusat hiburan serta menjual terus kepada pelanggan.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada suspek positif Benzodiazepine manakala seorang lagi positif ketamin. Ketua sindiket itu mempunyai dua rekod lampau dalam kes dadah.
“Semua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga Ahad ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.