Wanita Myanmar maut ditikam bekas suami akibat cemburu

Wanita Myanmar maut ditikam bekas suami akibat cemburu

Polis berkata kejadian berlaku di sebuah kondominium di Genting Court, Setapak, Kuala Lumpur.

Tular video seorang wanita terbaring dipercayai selepas ditikam bekas suaminya.
PETALING JAYA:
Seorang wanita warga Myanmar maut selepas ditikam dalam kejadian dipercayai bermotifkan cemburu di sebuah kondominium di Genting Court, Setapak, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira 2.20 petang melalui panggilan orang awam.

Beliau berkata, pemanggil memaklumkan mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian, dipercayai akibat ditikam oleh seorang lelaki.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis digerakkan ke lokasi dan berjaya menahan seorang lelaki warga Myanmar pada hari sama,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek adalah bekas suami mangsa dan ia dipercayai bermotifkan cemburu.

Beliau berkata polis turut merampas senjata dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Fadil berkata, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 30 April bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat kecederaan tikaman di bahagian dada.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.