
Hakim N Priscilla Hemamalini membuat keputusan itu selepas peguam Mohd Hakim Hamran memaklumkan anak guamnya Muhammad Ilhami Badaruddin, 32, sedang menjalani rawatan psikiatri di Hospital Sultanah Bahiyah di sini.
Peguam berkata lelaki itu memiliki kad janji temu rawatan secara berkala di hospital tersebut dan mengambil ubat bagi merawat masalah mental termasuk turut mengalami Gangguan Obsesif-Kompulsif dan mendengar bisikan suara.
“Untuk memastikan keadilan perbicaraan, tertuduh perlu waras untuk mengemukakan pembelaan. Saya memohon perintah di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah untuk mendapatkan penilaian psikiatri lanjut terhadap tertuduh,” katanya.
Pihak pendakwaan yang diwakili Pengarah Pendakwaan Kedah Datuk Khairul Anuar Abdul Halim dan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fahmi Kamaluddin serta Vatchira Wong Rui Fern tidak membantah permohonan itu.
Terdahulu, Ilhami mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan cubaan membunuh dengan cara menikam leher Nurul Husna Kasmani, 35, menggunakan pisau di kawasan tempat letak kereta Sheikh Bistro Titi Gajah, Kepala Batas dekat sini pada 9.19 malam 17 Mei.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, dan jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 2 Julai.