
Beliau berkata semua rekod penting termasuk minit mesyuarat, dokumen rasmi serta perjanjian berkaitan wujud, dan yakin boleh dikemukakan di mahkamah, jika perlu.
“Minit, dokumen dan perjanjian iu semua memang dah ada… jadi, sebab itu saya sangat yakin sebenarnya ia teratur dan terurus dari segi peraturan dan prosedurnya sebagaimana yang saya ingat telah melalui prosesnya dahulu semasa saya dalam kerajaan,” katanya.
Rafizi berkata demikian kepada pemberita di hadapan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas hampir lima jam dirakam keterangan.
Beliau tiba pada 1.50 tengah hari bagi meneruskan proses rakaman keterangan pada hari ketiga untuk membantu siasatan berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan melibatkan perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dengan syarikat berpangkalan di United Kingdom itu.
Rafizi memaklumkan siasatan yang sedang dijalankan terhadapnya setakat ini tertumpu pada aspek prosedur dan keputusan usaha sama dalam urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion.
Beliau berkata sepanjang sesi rakaman keterangan, tiada soalan yang menyentuh tentang aliran wang atau bayaran seperti yang didakwa sebelum ini.
“Setakat ini tidak ada soalan yang bersabit mengenai transaksi. Soalan semua berkenaan keputusan usaha sama dan prosedur,” katanya.
Pada Sabtu lepas, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Hafaz Nazar mengesahkan Rafizi dipanggil bagi dirakam keterangan untuk membantu siasatan kes terbabit, yang dijalankan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM berkaitan salah guna jawatan atau kedudukan bagi mendapatkan suapan.
Dalam kenyataan berasingan, Hafaz berkata kehadiran Rafizi bertujuan memberikan kerjasama kepada SPRM dalam melengkapkan siasatan yang sedang dijalankan.