Dr M akui gagal satukan Melayu selepas lebih 2 tahun

Dr M akui gagal satukan Melayu selepas lebih 2 tahun

Bekas perdana menteri turut dakwa negara ini akan terlepas dari tangan orang Melayu.

Dr Mahathir Mohamad tubuh Sekretariat Orang Melayu pada Jun tahun lalu namun landskap politik kini berbeza apabila Muhyiddin Yassin serta Hamzah Zainudin berseteru.
PETALING JAYA:
Dr Mahathir Mohamad mengakui gagal dalam usahanya menyatukan orang Melayu selepas lebih dua tahun menggerakkan agenda itu.

Bekas perdana menteri membuat pengakuan itu dalam hantaran ringkas bertajuk ‘Gagal’ di media sosialnya.

Beliau turut mendakwa negara ini akan terlepas dari tangan orang Melayu.

“Saya telah usaha lebih dari dua tahun untuk menyatu orang Melayu. Saya perlu akui saya gagal

“Oleh itu, negara tercinta ini akan terlepas dari tangan orang Melayu. Dan tamatlah sejarah orang Melayu kerana mereka lebih utama nasib pemimpin dari bangsa, negara dan agama,” katanya.

Mahathir bagaimanapun tidak memperincikan atau merujuk usaha dibuatnya dalam tempoh dua tahun untuk menyatukan orang Melayu.

Pada 4 Jun tahun lalu, bekas presiden Umno itu menubuhkan Sekretariat Orang Melayu dalam usaha ‘mengembalikan kuasa Melayu’ dalam kerajaan.

Katanya, ia akan menjadi ‘payung besar’ untuk menyatukan orang Melayu demi menyelamatkan masa depan kaum itu dari segi politik dan ekonomi.

Ketika mula digerakkan, perbincangan sekretariat itu turut membabitkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin.

Bagaimanapun, kedua-duanya bertelingkah dalam krisis dalaman Bersatu yang membawa kepada pemecatan Hamzah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.