DUN Johor lulus 5 Adun lantikan

DUN Johor lulus 5 Adun lantikan

RUU yang mendapat bantahan pengimbang terdiri PH, PN, dan Muda mendapat sokongan 40 Adun daripada keseluruhan 56 wakil rakyat.

dun johor
DUN Johor meluluskan RUU untuk melantik Adun lantikan sekali gus menjadikan keseluruhan Adun kepada 61. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
DUN Johor meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Perlembagaan mengenai lantikan lima Adun lantikan.

RUU itu mendapat sokongan 40 Adun daripada keseluruhan 56 wakil rakyat, lapor Sinar Harian.

Usul kemudian dibahaskan Anuar Abdul Manap (BN- Pemanis) yang menegaskan Adun lantikan bukan sekadar menambah kerusi, tetapi menambah nilai perkhidmatan kepada rakyat.

Ketua Pengimbang Johor, Andrew Chen Kah Eng (DAP- Stulang) menyuarakan rasa tidak setuju, sambil menyifatkan ia dibawa secara tergesa-gesa.

“Kami juga berasa proses membawa usul ini boleh diperbaiki, di mana sebelum ini sepatutnya ada rundingan atau perbincangan dengan pihak pengimbang. Kami pihak pengimbang blok Pakatan Harapan (PH) mengambil pendirian tidak setuju dengan usul yang dibawa secara tergesa-gesa ini,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi ketika membentangkan RUU tersebut berkata, jumlah keseluruhan Adun akan bertambah kepada 61 pada masa akan datang.

“Adun ini tidak dilantik melalui proses pilihan raya, sebaliknya dilantik bagi melengkapkan komposisi sedia ada. Ahli dilantik hendaklah mendapat perkenan raja. Adun lantikan ini sudah dilakukan di negeri Sabah, Terengganu, dan Pahang,” katanya.

Cadangan kerajaan negeri untuk melantik Adun lantikan sebelum ini mendapat kritikan pengimbang Johor terdiri daripada PH, Perikatan National (PN), dan Muda.

Mereka mempersoalkan kriteria pelantikan serta peranan sebenar Adun lantikan selain melihat persempadanan semula kawasan DUN lebih sesuai memandangkan terdapat tujuh kawasan DUN Johor memiliki lebih 100,000 pengundi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.