Umno perlu elak dilihat ‘ancaman luar’ di Sabah, kata penganalisis

Umno perlu elak dilihat ‘ancaman luar’ di Sabah, kata penganalisis

Syahruddin Awang Ahmad berkata Umno tidak perlu berundur sebaliknya menjadi rakan strategik kepada blok tempatan.

PAU
Penganalisis berkata Umno Sabah perlu lebih berani menonjolkan suara pelapis khususnya Pemuda dan Puteri dalam arus politik negeri.
PETALING JAYA:
Umno tidak perlu berundur sepenuhnya dari Sabah tetapi harus mengubah pendekatan daripada parti yang mahu mendominasi kepada rakan strategik menyokong aspirasi tempatan, kata penganalisis.

Syahruddin Awang Ahmad berkata, landskap politik negeri itu semakin dipengaruhi sentimen tempatan yang dibuktikan pada PRN tahun lalu sekali gus menuntut Umno menilai semula kedudukannya jika mahu kekal relevan.

“Mungkin tidak perlu berundur tetapi mengendurkan tuntutan dominasi dalam politik Sabah.

“Pendekatan itu membolehkan Umno bergerak sebagai rakan strategik kepada blok tempatan tanpa dilihat sebagai ‘ancaman luar’ dalam arena politik Sabah,” kata ahli akademik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) kepada FMT.

Syahruddin Awang Ahmad
Syahruddin Awang Ahmad.

Katanya, Umno perlu memperkukuh kerjasama dengan parti tempatan serta menawarkan agenda pembangunan lebih inklusif dan realistik.

Beliau mengulas sama ada Umno wajar berundur dari Sabah selepas parti itu tidak lagi dominan, merujuk keputusan PRN lalu menyaksikan hanya menang lima kerusi DUN.

Ia keputusan terburuknya sejak melebarkan sayap ke Sabah pada 1991.

Isu dominan dibangkitkan Naib Presiden Umno Johari Ghani, Sabtu lalu, yang meminta ahli menerima hakikat parti itu tidak lagi mempunyai kuasa mutlak.

Menyentuh isu itu, Bendahari Umno Sabah Salleh Said Keruak dipetik berkata, strategi kerjasama dan hala tuju jelas penting menjamin masa depan parti berkenaan termasuk dalam konteks di Sabah.

Arvin Tajari dari Universiti Malaysia Mara (UiTM) pula berkata, Umno Sabah masih mempunyai kekuatan akar umbi walaupun penolakan terhadap parti itu semakin ketara sejak 2018.

Arvin Tajari
Arvin Tajari.

Menurutnya, keputusan sama ada Umno perlu kekal atau berundur daripada persada politik Sabah perlu dinilai secara cermat.

“Umno Sabah perlu lebih berani menonjolkan suara pelapis, khususnya Pemuda dan Puteri dalam arus politik negeri (jika ingin kekal).

“Suara kelompok itu tidak cukup kedengaran dalam medan politik Sabah, sedangkan ia penting bagi menunjukkan parti berkenaan masih mempunyai generasi baharu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.