Krisis N Sembilan ‘tangguh’ sementara

Krisis N Sembilan ‘tangguh’ sementara

Tempoh enam bulan ini dijangka beri kestabilan sementara di mana selepas itu sidang DUN mesti diadakan dengan sokongan terhadap Aminuddin Harun berkemungkinan diuji.

Dato' Seri Utama Haji Aminuddin Harun fb pic 240425
Kedudukan Aminuddin Harun sebagai menteri besar Negeri Sembilan selamat buat masa ini susulan perbincangan antara kepimpinan tertinggi BN-PH. (Gambar Facebook) 
PETALING JAYA:
Kedudukan Aminuddin Harun sebagai menteri besar Negeri Sembilan ‘selamat’ untuk sekurang-kurangnya enam bulan lagi susulan perjanjian Pakatan Harapan (PH) dan Umno, menurut sumber mempunyai maklumat mengenai perkara itu.

Sumber itu berkata, PH dan Umno bersetuju menangguhkan persidangan DUN selama enam bulan, sekali gus menghalang sebarang cubaan menjatuhkan Aminuddin daripada PKR, di peringkat dewan perundangan.

Sebaik sahaja sidang DUN bersambung semula, kedudukan Aminuddin mungkin tergugat sama ada melalui usul undi tidak percaya atau kegagalan meluluskan rang undang-undang (RUU) kerajaan negeri di dewan.

Sebelum ini, persidangan DUN yang dijadual berlangsung empat hari bermula 23 April dibatalkan susulan krisis politik tercetus.

Mengikut undang-undang, DUN mesti kembali bersidang dalam tempoh enam bulan, bermakna persidangan itu dijangka akan diadakan menjelang akhir Oktober, bertepatan dengan waktu belanjawan negeri lazimnya dibentangkan.

Aminuddin ada memberikan bayangan persidangan seterusnya mungkin diadakan apabila belanjawan negeri 2027 dibentangkan.

“Kedudukan menteri besar selamat untuk tempoh enam bulan susulan perjanjian dengan Umno, namun apa-apa sahaja boleh berlaku selepas itu,” kata sumber PH berkenaan yang terlibat dalam pertemuan kepimpinan PH-Umno semalam.

Namun, sumber tersebut menyuarakan keyakinan perjanjian dicapai kedua-dua pihak untuk mengekalkan kerajaan perpaduan negeri akan kekal utuh walaupun selepas tempoh enam bulan berkenaan.

Selagi persefahaman itu kekal, tidak akan berlaku ketidakstabilan politik walaupun sidang DUN bersambung semula, kata sumber itu.

Semalam, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil mengumumkan krisis politik di Negeri Sembilan telah diselesaikan susulan pertemuan antara kepimpinan tertinggi Barisan Nasional-PH.

Fahmi berkata, Jemaah Menteri telah dimaklumkan bahawa perkara itu telah ‘selesai’ selepas perbincangan antara pemimpin gabungan, dan kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan akan terus berfungsi seperti biasa di bawah pimpinan Aminuddin.

PH menguasai 17 DUN dalam dewan dianggotai 36 wakil rakyat, diikuti Umno (14) dan Perikatan Nasional (lima). Majoriti mudah 19 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri.

Kepimpinan pusat Umno telah mengarahkan Adunnya untuk terus menyokong pentadbiran kerajaan negeri semasa. Walaupun Umno Negeri Sembilan menyatakan ia menghormati arahan itu, mereka tetap menegaskan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin masih kekal.

Semalam, Aminuddin menyatakan perjanjian PH-Umno itu bermakna beliau tidak lagi memimpin sebuah kerajaan minoriti.

Penganalisis jangka PRN dalam enam bulan

Penganalisis politik Syaza Shukri dan Mazlan Ali, menjangkakan sebaik sahaja tempoh enam bulan itu berakhir, Aminuddin akan memohon pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN.

Keduanya menjangkakan PRN tersebut akan diadakan serentak dengan PRN negeri lain, terutamanya Melaka, yang juga dijangka berlangsung dalam tempoh sama.

Mazlan Ali.
Mazlan Ali.

Mazlan berkata, ketegangan BN-PH di Negeri Sembilan tampak terkawal ketika ini, namun menjangkakan persaingan antara dua gabungan itu akan semakin sengit seiring waktu.

Beliau berkata, perkara berkenan akan terus mencorak dinamik pilihan raya pada masa hadapan.

“Krisis politik di Negeri Sembilan boleh dikatakan sudah berakhir kerana BN dan PH telah memutuskan meneruskan kerjasama dalam kerajaan perpaduan.

“Bagaimanapun, reaksi BN Negeri Sembilan yang tetap menegaskan mereka telah hilang kepercayaan terhadap Aminuddin boleh mencetuskan krisis berpanjangan serta melebarkan jurang hubungan antara BN dan PH di negeri itu.

“Ini akan menggalakkan persaingan politik yang lebih meluas antara BN dan PH di Negeri Sembilan, bermaksud mereka hampir pasti akan bertembung pada PRU atau PRN akan datang,” katanya.

Syaza berkata, persefahaman antara PH-Umno itu menyerupai perjanjian kepercayaan dan pembekalan, di mana kestabilan kerajaan bergantung kepada sokongan berterusan blok lain dalam dewan.

Syaza Shukri.
Syaza Shukri.

“Kerajaan negeri akan bertahan selagi mana mereka tidak dicabar dalam dewan, terutamanya apabila tiba pembentangan belanjawan akhir tahun ini.

“Dakwaan BN Negeri Sembilan bahawa mereka telah hilang kepercayaan terhadap menteri besar akan digunakan sebagai umpan untuk mendapatkan apa yang mereka mahukan,” katanya.

Namun, Syaza tidak bersetuju dengan tindakan menangguhkan prosiding dewan, sambil menyatakan tiada krisis mendesak yang mewajarkan penangguhan selama enam bulan.

“Saya mengandaikan bahawa selepas enam bulan itu, mereka merancang membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.