DUN Johor tak bubar hari ini, kata MB

DUN Johor tak bubar hari ini, kata MB

Onn Hafiz Ghazi berkata soal PRN perlu diketepikan terlebih dahulu dan semua Adun diminta terus berkhidmat untuk rakyat.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi bernama pic 7526
Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata banyak spekulasi mengatakan PRN akan diadakan tidak lama lagi, yang mungkin timbul susulan peningkatan suhu politik. (Gambar Bernama)
ISKANDAR PUTERI:
Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi menafikan desas-desus Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan hari ini.

Buat masa ini, katanya, soal PRN perlu diketepikan terlebih dahulu dan semua Adun diminta terus berkhidmat untuk rakyat.

“Saya ingin mengumumkan DUN Johor tidak akan dibubarkan hari ini, jadi boleh relaks, Ahli Yang Berhormat, saya sarankan jangan risau pasal PRN.

“…terus berkhidmat untuk rakyat dan Bangsa Johor, soal pilihan raya kita tolak ke tepi dahulu, banyak lagi program dan juga inisiatif yang perlu kita laksanakan,” katanya pada sesi penggulungan sidang DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini.

Jelasnya, beliau perlu menjelaskan perkara itu kerana banyak spekulasi mengatakan PRN akan diadakan tidak lama lagi, berkemungkinan timbul susulan peningkatan suhu politik.

“Saya lihat ada sedikit kelainan dalam sesi perbahasan dewan ini, mungkin kerana suhu politik semakin meningkat, ada yang kata ini mungkin sidang DUN terakhir sebelum PRN, ada yang bermohon maaf, bersalam-salaman,” katanya.

Sejak akhir-akhir ini, perihal pembubaran DUN Johor semakin kedengaran apabila beberapa ahli politik di negeri itu mengeluarkan kenyataan berkaitan PRN, dengan beberapa parti mula membangkitkan kerusi tumpuan mereka.

Penggal pentadbiran kerajaan negeri akan berakhir April 2027.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.