Johor akan warta lebih 500 petak letak kereta baharu

Johor akan warta lebih 500 petak letak kereta baharu

Exco Mohd Jafni Md Shukor berkata langkah diambil untuk tangani isu parkir tempoh panjang di kawasan awam khususnya mereka yang bekerja di Singapura.

car parking parkir kereta
Proses pewartaan kawasan parkir baharu sekitar Johor Bahru, Pasir Gudang dan Kulai dijangka selesai menjelang suku ketiga tahun ini. (Gambar fail)
ISKANDAR PUTERI:
Kerajaan Johor dalam proses mewartakan lebih 500 petak letak kereta baharu di beberapa kawasan strategik sekitar Johor Bahru, Pasir Gudang dan Kulai bagi menangani isu parkir jangka panjang, khususnya melibatkan individu yang bekerja di Singapura.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Mohd Jafni Md Shukor berkata, langkah itu diambil susulan terdapat pengguna yang meletakkan kenderaan dalam tempoh panjang, termasuk di kawasan awam berhampiran hospital serta lokasi tumpuan.

Katanya, proses pewartaan kawasan parkir baharu itu dijangka selesai menjelang suku ketiga tahun ini.

Tempoh pelaksanaannya akan pula mengambil masa sekitar dua hingga tiga bulan kerana melibatkan kelulusan serta prosedur rasmi kerajaan negeri, tambahnya.

“Langkah ini bertujuan memastikan sistem parkir lebih teratur dan adil, selain mengelakkan situasi kenderaan diletakkan selama 14 hingga 16 jam tanpa sebarang bayaran,” katanya kepada pemberita selepas sesi penggulungan sidang DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut meneliti beberapa pendekatan baharu, termasuk kemungkinan memperkenalkan had masa letak kenderaan serta kadar bayaran tertentu bagi penggunaan melebihi tempoh ditetapkan.

Terdahulu dalam sesi penggulungan, Mohd Jafni berkata, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) tidak akan mengenakan sebarang caj letak kenderaan kepada pengguna jalan raya di seluruh kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sepanjang bulan ini.

Katanya, parkir percuma itu dilaksanakan bagi memberi ruang kepada orang ramai memuat turun aplikasi sistem baharu, iaitu Parkmax@JOHOR yang akan menggantikan sistem MBJBSpot bermula 1 Jun ini.

“Pengguna MBJBSpot yang masih mempunyai baki kredit boleh membuat tuntutan atau pengemaskinian kredit melalui borang dalam talian atau hadir ke kaunter MBJB hingga 31 Mei ini,” katanya.

Menurutnya, MBJB memberi jaminan baki kredit sedia ada tidak akan terjejas serta proses migrasi akan diselesaikan secara berfasa.

Beliau berkata, pengenalan sistem baharu ini sebahagian usaha menyeragamkan sistem parkir digital di seluruh negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.