
Beliau mengimbau semula inisiatifnya memulakan usaha penyatuan Melayu-Islam menerusi Muafakat Nasional (MN) selepas PRU14 namun mendakwa telah dikhianati PAS.
“Tetapi DNA mereka adalah khianat. Jadi kalau mereka menghilangkan rasa khianat dalam hati, mungkin kita boleh pertimbangkan.
“Tetapi kalau khianat itu masih terus ada, saya fikir elok kita lupakan,” katanya selepas satu majlis di sini.
Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mengajak Umno ‘kembali ke pangkal jalan’ selepas didakwa tersalah memilih rakan politik dalam kerajaan perpaduan.
Dalam tulisan Minda Presiden, Ahli Parlimen Marang itu mendakwa Umno semakin lemah kerana meninggalkan asas perjuangan Islam dan Melayu selepas memilih bekerjasama dengan PKR dan DAP.
Umno kini menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan dipimpin Pakatan Harapan (PH), yang turut dianggotai dua parti itu.
Beliau turut mendakwa, Umno menolak tawaran kerjasama PAS selepas PRU15 kerana bimbang parti Islam itu lebih kuat dan kononnya akan ‘membunuh’ Umno.
Menjelang PRU15, kerjasama MN terkubur antaranya disebabkan tindakan PAS menubuhkan Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu yang menjadi seteru Umno.