Anwar gesa manfaat kerjasama Asean-GCC-China bagi keselamatan tenaga serantau

Anwar gesa manfaat kerjasama Asean-GCC-China bagi keselamatan tenaga serantau

Perdana menteri berkata kerjasama serantau diperlukan susulan krisis Asia Barat yang mengancam kestabilan bekalan bahan api di seluruh Asia Tenggara.

47th ASEAN Summit and related summits
Anwar Ibrahim berkata krisis Asia Barat memberi kesan ‘mendalam, segera dan meluas’, serta tiada satu negara pun mampu menguruskan gangguan itu secara bersendirian.
CEBU:
Anwar Ibrahim menyeru Asean supaya ‘memanfaatkan sepenuhnya’ kerjasama dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China bagi menjamin keselamatan tenaga serantau susulan gangguan berterusan akibat krisis Asia Barat.

Sambil menggesa pelaksanaan lebih pantas Rangka Kerja Asean mengenai Perjanjian Keselamatan Petroleum, Anwar berkata blok Asia Tenggara itu juga perlu mempelbagaikan sumber bahan api dan mengurangkan kebergantungan terhadap rantaian bekalan yang terdedah kepada gangguan.

“Kita mesti mengiktiraf bahawa kerjasama strategik dengan rakan dipercayai dan kumpulan serantau mampu memperkukuh keselamatan tenaga jangka panjang Asean,” katanya pada sSesi pleno Sidang Kemuncak Asean ke-48, di sini hari ini.

“Dalam konteks ini, Asean perlu memanfaatkan sepenuhnya kerjasama dengan GCC, termasuk hubungan lebih luas Asean-GCC-China, untuk membina pengaturan tenaga yang lebih boleh dipercayai dan berdaya tahan.”

Seruan Anwar itu menyusuli kepengerusian Asean oleh Malaysia tahun lalu yang menyaksikan sidang kemuncak Asean-GCC-China pertama diadakan. Antara hasil utama mesyuarat itu ialah pemeteraian memorandum persefahaman untuk memulakan rundingan rasmi mengenai perjanjian perdagangan bebas dengan negara GCC.

Perdana menteri turut berkata kesan krisis Asia Barat adalah ‘mendalam, segera dan meluas’ dan tiada satu negara pun mampu menguruskan gangguan tersebut secara bersendirian.

“Tindak balas kita mesti bersifat kolektif, terselaras dan berpandangan jauh,” katanya.

Selain bahan api fosil, Anwar berkata Grid Kuasa Asean adalah teras kepada peralihan tenaga serantau dan menggesa lebih banyak pelaburan dalam kesalinghubungan rentas sempadan.

Beliau mengalu-alukan sokongan Bank Pembangunan Asia serta pelancaran Dana Ketersambungan Serantau untuk Tenaga bulan lalu, sambil berkata inisiatif itu akan membantu membiayai projek penting Grid Kuasa Asean.

Mengenai keselamatan makanan, Anwar memberi amaran bahawa kenaikan harga bahan api sudah meningkatkan kos baja, pengangkutan dan pengeluaran, sekali gus mewujudkan tekanan bekalan segera di seluruh Asean.

“Jika gangguan berterusan, Asean berdepan risiko hasil pengeluaran lebih rendah dan inflasi makanan yang berpanjangan sehingga tahun depan,” katanya sambil menambah bahawa keselamatan makanan mesti dianggap sebagai keutamaan strategik serantau.

Anwar mencadangkan supaya menteri Asean segera meneliti mekanisme simpanan kecemasan makanan peringkat serantau ketika krisis, di samping memperkukuh mekanisme Simpanan Beras Kecemasan Asean Plus Tiga serta meluaskan kerjasama merangkumi keselamatan baja.

Beliau turut menggesa negara Asean memperkukuh perkongsian maklumat, kerjasama konsular dan mekanisme tindak balas kecemasan bagi melindungi jutaan rakyat Asean yang tinggal dan bekerja di Asia Barat ketika krisis yang sedang berlaku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.