
Program sehari Bertemakan ‘Tekad Madani, Harapan Rakyat’ akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, bermula 8.00 pagi hingga 6.00 petang.
Perdana menteri merangkap Pengerusi PH, Anwar Ibrahim dijadual hadir menyampaikan amanat khas kepada para perwakilan. Turut hadir ialah pimpinan utama PH daripada PKR, Amanah dan DAP.
“Konvensyen ini menjadi platform memperkukuh kesepaduan kepimpinan dan organisasi, menyelaras gerak kerja politik serta memperincikan hala tuju PH dalam mendepani cabaran semasa negara.
“Sebagai teraju kerajaan Madani, PH terus memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi negara, kestabilan politik serta keyakinan rakyat menjelang PRN dan PRU16,” kata kenyataan bersama Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, Naib Presiden Amanah Adly Zahari, dan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Syahredzan Johan.
Kali terakhir, konvensyen PH diadakan adalah pada 2022, sebelum gabungan itu kembali menerajui kerajaan persekutuan.
PRU16 perlu diadakan selewat-lewatnya Februari 2028, namun terdapat spekulasi Anwar mungkin memanggil pilihan raya awal, berkemungkinan separuh kedua 2026, sekali gus serentak dengan PRN Melaka dan Johor.
Penggal DUN Melaka berakhir pada Disember tahun ini, manakala Johor pula sehingga April 2027.