

Mazlan Ali berkata, walaupun BN dan PH bersetuju meneruskan kerajaan perpaduan di negeri itu, ketegangan antara kedua-duanya belum selesai sepenuhnya dan berisiko melebar dengan kritikan serta saling menyerang dijangka berlarutan.
Katanya, perkembangan itu boleh menyebabkan PH dan BN yang pada PRN 2023 bekerjasama bertembung sehingga mewujudkan persaingan sekurang-kurangnya tiga penjuru termasuk pembabitan Perikatan Nasional (PN).
“Jadi ‘free for all, iaitu semua parti bebas bertanding, ‘lawan dahulu, kawan kemudian’ selepas pilihan raya.
“Sekarang susah hendak mencari titik temu untuk PH dan BN di Negeri Sembilan…kedua-duanya tidak akan berkompromi pada pilihan raya nanti,” kata penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia kepada FMT.
Krisis politik BN dan PH tercetus apabila 14 Adun Umno pada 20 April lalu menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun yang didakwa gagal menguruskan isu institusi diraja sehingga menjadi perdebatan umum.
Kelmarin, laungan ‘Tolak Umno’ bergema dalam ceramah PH di Paroi yang diadakan ketika krisis politik negeri itu, walaupun ada gesaan berulang untuk bertenang.
Aminuddin juga menyeru rakyat Negeri Sembilan bersiap sedia menghadapi pilihan raya, mendakwa pihak tertentu masih tidak berpuas hati.
BN dan PH membentuk kerajaan Negeri Sembilan selepas menguasai 31 kerusi pada PRN lalu manakala lima dimenangi PN.
Namun, Mazlan berpandangan krisis PH dan BN Negeri Sembilan tidak akan memberi kesan besar di peringkat persekutuan atau negeri
Menurutnya, keadaan di peringkat nasional mungkin tidak setegang Negeri Sembilan kerana PH dan BN masih boleh mengamalkan formula ‘hibrid’.
“Menerusi formula itu, mereka boleh bekerjasama di kawasan tertentu tidak bertembung di beberapa kerusi tetapi bertanding sesama sendiri di tempat lain,” katanya.
Baru-baru ini, Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata komponen itu hampir bergerak ‘solo’ namun tidak bertanding di semua kerusi serta mengambil kira persefahaman dengan parti menjadi rakan strategik untuk mengelakkan pertindihan kerusi serta pertandingan tiga penjuru.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berkata, ketegangan di negeri itu terutama membabitkan Aminuddin memberi ruang kepada Umno untuk menjustifikasikan pendirian bergerak solo.
“Bila PH menyahut cabaran ini, maka tercapailah cita-cita Umno untuk mengatakannya lebih berani serta kuat selain mahir dalam strategi,” katanya.
Azmi berkata, situasi Negeri Sembilan berbeza dengan Johor dan Melaka, kerana kekuatan PH dan Umno di negeri itu lebih seimbang berdasarkan keputusan PRN 2023.
Menurutnya, di negeri seperti Johor dan Melaka, Umno lebih dominan manakala PH mungkin mahu manfaat kerjasama kerajaan perpaduan diterjemahkan dalam bentuk agihan kerusi.
“Namun di Negeri Sembilan, kedudukan kedua-dua blok yang hampir seimbang menjadikan persaingan lebih sengit, sekali gus menyukarkan rundingan pilihan raya,” katanya.