PRN N Sembilan: Umno sedia gerak solo, terutama selepas serangan PH

PRN N Sembilan: Umno sedia gerak solo, terutama selepas serangan PH

Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan dedah parti itu sudah lama bergerak solo sejak kerajaan perpaduan dibentuk.

Mohamad Fadil Md Zin
Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan Mohamad Fadil Md Zin dakwa BN dan PH bergerak solo dari segi penganjuran program selama kerajaan perpaduan terbentuk di negerinya. (Gambar UMNO)
PETALING JAYA:
Umno Negeri Sembilan sedia bergerak solo sekiranya PRN diadakan dalam tempoh terdekat, terutama selepas Pakatan Harapan (PH) menyerang Barisan Nasional (BN) secara terbuka pada ceramah semalam.

Ketua Pemuda Mohamad Fadil Md Zin malah mendakwa masing-masing telah bergerak solo dari segi penganjuran program selama kerajaan perpaduan terbentuk di Negeri Sembilan.

“Sepanjang pengetahuan saya, mesyuarat terakhir bersama pimpinan parti serta pimpinan sayap yang berada dalam kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan juga adalah pada Julai 2023 iaitu sebelum PRN15,” katanya kepada FMT.

Meskipun soal kerjasama di tangan Umno pusat, Fadil mendedahkan Umno Negeri Sembilan ‘lebih selesa’ bergerak solo.

“Sebab kita boleh buat keputusan gerak kerja sendiri tanpa terikat dengan mana-mana gabungan khususnya melibatkan kawasan yang ingin ditandingi,” katanya.

Kedudukan semasa di 36 kerusi DUN meyaksikan BN menduduki 14, berbanding 17 di tangan PH, manakala selebihnya Perikatan Nasional.

Laungan ‘Tolak Umno’ bergema dalam ceramah PH di Paroi semalam, selepas beberapa pemimpin gabungan selesai berucap, walaupun terdapat gesaan berulang untuk bertenang.

Menteri Besar Aminuddin Harun dalam ucapannya menyentuh tentang peristiwa yang menyaksikan 14 Adun BN menarik balik sokongan kepada beliau, mengatakan krisis itu suatu pengajaran kepada PH.

Beliau juga menyeru rakyat Negeri Sembilan supaya bersiap sedia menghadapi pilihan raya, mendakwa pihak tertentu masih tidak berpuas hati.

Krisis politik di Negeri Sembilan tercetus selepas semua 14 Adun BN menarik balik sokongan mereka kepada Aminuddin atas alasan hilang kepercayaan.

Adun berkenaan berkata, keputusan mereka berkait dengan krisis melibatkan empat undang yang berusaha menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.