Kritik Umno di ceramah PH kerana tak dapat gambaran jelas, kata Zahid

Kritik Umno di ceramah PH kerana tak dapat gambaran jelas, kata Zahid

Presiden Umno berkata sebahagian akar umbi PH tak memahami pendirian parti itu dalam isu politik di Negeri Sembilan.

ceramah mega PH
Presiden Umno Zahid Hamidi berkata beliau meneliti setiap ucapan termasuk dalam kalangan pimpinan atasan PH dalam ceramah perdana gabungan itu di Paroi, Seremban malam tadi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Presiden Umno Zahid Hamidi berkata kritikan terhadap Umno berhubung isu politik di Negeri Sembilan mungkin timbul kerana sebahagian akar umbi Pakatan Harapan (PH) tidak mendapat gambaran jelas mengenai pendirian parti itu.

Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata ia berbeza dengan pandangan pimpinan tertinggi dalam PH kerana mereka memahami kedudukan sebenar isu tersebut, termasuk pendirian Umno.

“Saya perhatikan dalam kalangan pimpinan atasan parti-parti komponen dalam PH, mereka sangat memahami kedudukan perkara dan isu ini.

“Saya teliti tiap-tiap ucapan mereka dalam perhimpunan itu. Saya menghargai pemimpin-pemimpin utama parti dalam PH di peringkat kesepakatan dan juga di peringkat negeri,” katanya selepas Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara 2026-2030 di Pusat Dagangan Dunia.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kritikan terbuka terhadap Umno dan BN pada ceramah perdana PH di Paroi, Seremban malam tadi.

Menurut Zahid, reaksi berbeza yang timbul di peringkat akar umbi mungkin berpunca daripada kekeliruan atau kurang kefahaman terhadap keputusan kerjasama politik yang dibuat.

“Di peringkat akar umbi itu saya faham perasaan mereka. Mereka mungkin tidak dapat gambaran yang jelas tentang apa yang saya nyatakan dan apa pendirian yang dibuat oleh Umno dan BN,” katanya.

Semalam, laungan ‘Tolak Umno’ bergema dalam ceramah berkenaan selepas beberapa pemimpin gabungan itu selesai berucap, walaupun terdapat gesaan berulang untuk bertenang.

Turut berucap dalam ceramah itu Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, Ketua Amanah Negeri Sembilan, MK Ibrahim Abd Rahman, Ketua Wanita Amanah Aiman Athirah Sabu serta Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Dalam pada itu, Zahid berkata beliau dimaklumkan ceramah PH semalam dianjurkan khusus untuk kumpulan sasaran melibatkan parti-parti komponen dan ahli dalam gabungan itu.

“Majlis itu anjuran PH dan mereka telah memaklumkan kepada saya. Jemput atau tidak tak jadi persoalan. Itu adalah kumpulan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zahid berkata kerajaan tidak perlu melayan ‘ugutan’ Pemuda PAS Selangor yang mendesak Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing meletakkan jawatan susulan penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 di Bukit Bintang, baru-baru ini.

“Saya fikir kita tidak makan dengan ugutan. Namun kita harus lebih berhati-hati. Kita tangani isu ini dengan cara yang baik bukan dengan cara desakan dan sebagainya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.