
Beliau berkata cadangan undang-undang baharu yang dikenali sebagai Akta Penjagaan Ibu Bapa itu akan memberi penekanan kepada tanggungjawab anak-anak menjaga ibu bapa yang lanjut usia.
Zahid berkata beberapa negara sudah melaksanakan undang-undang seumpama itu, manakala Malaysia masih di peringkat kajian.
“Saya telah meminta menteri, timbalan menteri dan ketua setiausaha KPWKM menyediakan satu akta khusus mengenai penjagaan ibu bapa dalam tempoh enam bulan dari sekarang.
“Ia mesti dibawa ke Jemaah Menteri bagi mendapatkan kelulusan dasar,” katanya selepas melancarkan Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara (PTDSN) 2026-2030 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Zahid berkata pembentukan akta itu penting bagi memastikan nilai tanggungjawab sosial terhadap ibu bapa tidak semakin terhakis seiring kemajuan negara.
Beliau berkata kerajaan juga akan meneliti pengalaman beberapa negara yang sudah melaksanakan undang-undang berkaitan penjagaan ibu bapa sebelum merangka akta berkenaan.
“Kita mula melihat pengabaian terhadap ibu bapa yang tua, termasuk menghantar mereka ke rumah orang tua-tua dan meninggalkan mereka tanpa lawatan.
“Itu adalah satu pelepasan tanggungjawab yang sangat tidak dialu-alukan,” katanya.
Zahid, yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah, berkata usaha menggubal akta baharu itu penting memandangkan Malaysia sedang menuju ke arah masyarakat menua, sekali gus memerlukan pendekatan lebih menyeluruh dalam aspek kebajikan dan penjagaan warga emas.
Katanya, peningkatan jumlah warga emas turut membawa cabaran baharu kepada institusi keluarga.
“Dengan warga emas mencecah 8% daripada populasi pada 2025, dasar sosial mesti melihat bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi juga aspek penjagaan, sokongan keluarga dan maruah hidup mereka,” katanya.
Zahid berkata pendekatan lebih holistik dan bersepadu perlu dilaksanakan bagi memastikan kebajikan warga emas, keluarga dan golongan rentan terus terpelihara selaras dengan perubahan demografi negara.